Wednesday, March 3, 2010

Nelayan didakwa ‘jual’ 21 warga Afghanistan

KLANG 2 Mac 2010 – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan 21 lelaki warga Afghanistan di muara sebuah sungai pada pertengahan Februari lalu.

Sapri Mohmad, 43, dari Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar dekat sini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Dia bersama seorang yang masih bebas didakwa memperdagangkan semua lelaki itu yang berusia antara 18 hingga 54 tahun di Muara Sungai Changkat Haji Dorani, Sungai Besar dekat sini pada pukul 10.15 malam, 17 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama Seksyen 37 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 8 April ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisara Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment