Friday, March 26, 2010

Empat ditahan cuba rempuh polis

KUALA LUMPUR 26 Mac 2010 - Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sebelum berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Taman Bidara, Gombak dekat sini malam tadi.

Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan selepas melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, kereta yang dipandu salah seorang suspek turut cuba merempuh kenderaan polis yang mengejar mereka.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sebelum itu, tujuh anggota polis cuba menahan kereta terbabit untuk pemeriksaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya berkeadaan mencurigakan.

"Ketika tiba di lampu isyarat Jalan Pintas Selayang, dua anggota polis yang mengekori di belakang keluar dari kenderaan untuk memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan.

"Tiba-tiba suspek memecut dan nyaris melanggar seorang anggota polis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, polis cuba memotong kereta suspek berhampiran Taman Bidara bagi memaksa mereka berhenti tetapi gagal, sebaliknya kereta suspek cuba melanggar dan menggesel kenderaan polis.

Katanya, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan termasuk satu das ke arah tayar kereta suspek.

"Suspek tetap enggan mematuhi arahan dan terus memecut kereta hingga ke simpang lampu isyarat di Taman Bidara sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat peket kecil dan satu tiub disyaki dadah jenis syabu serta satu ketulan mampat ganja di bawah tempat duduk pemandu.

Katanya, keempat-empat suspek tidak mengalami kecederaan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment