Tuesday, March 16, 2010

Tiga lelaki bersenjata parang samun butik

MELAKA 16 Mac 2010 - Tiga lelaki bersenjatakan parang melarikan wang tunai dan barangan kemas bernilai RM7,000 dari sebuah butik perkahwinan di Bukit Katil di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, tiga lelaki berusia 30 hingga 50-an bukan sahaja menyamun barang berharga pemilik butik, Salina Saari, 45, malah turut menolaknya hingga terjatuh di tangga kedainya.

Menurut Salina sebelum kejadian, salah seorang penjenayah berusia 50-an pernah datang ke butiknya selama tiga hari berturut-turut untuk bertanyakan mengenai satu pakej perkahwinan kononnya untuk adiknya yang akan berkahwin.

Sebagai seorang pengusaha butik perkahwinan, kata Salina, dia berminat menawarkan perkhidmatan terbaik pada pelanggannya.

Namun apabila butiknya dibuka kira-kira pukul 9 pagi ini, lelaki berkenaan datang buat kali keempat tetapi kali ini membawa dua lagi rakannya.

''Saya yang ketika itu sedang bersarapan di bawah kedai mengajaknya naik ke atas untuk berbincang mengenai pakej perkahwinan sebanyak RM30,000 dengan mereka.

''Tetapi belum sempat memberi keterangan secara terperinci, tiba-tiba mereka mengeluarkan parang sambil mengarahkan saya dan anak saya serta dua pekerja mendiamkan diri. Salah seorang daripadanya menarik saya sehingga berlaku pergelutan menyebabkan saya terjatuh ke tangga," katanya di sini hari ini.

Katanya, penjenayah itu kemudiannya menutup pintu butik dan mengikat mereka sebelum menyamun barang kemas bernilai kira-kira RM6,000 dan wang tunai RM1,000.

Kata Salina ketika itu dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana penjenayah mengugutnya menggunakan parang.

Katanya, dia dan anak gadisnya hanya berjaya melepaskan diri selepas ketiga-tiga suspek terbabit beredar meninggalkan butik itu.

''Saya kemudian turun ke tingkat bawah mendapatkan bantuan daripada jiran dan menghubungi polis," katanya.

Sementara itu anak gadis Salina, Nurul Izati Nabila Mansor, 22, yang cuba mempertahankan keselamatan ibunya turut cedera di muka kerana ditumbuk berkali-kali ketika cuba meminta pertolongan.

''Saya bimbang ibu diapa-apakan dengan parang dan menjerit sekuat hati akibatnya saya ditumbuk di dahi kiri dan kanan selain di muka dan pipi,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehudin Abd. Rahman berkata, suspek kini masih diburu dan kes disiasat di bawah seksyen 395 iaitu melakukan kegiatan samun secara berkumpulan.

No comments:

Post a Comment