29/03/2010 4:17pm
KUALA LUMPUR 29 Mac 2010 – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini menetapkan 12 dan 13 Oktober ini untuk perbicaraan kes seorang bekas penuntut kolej swasta yang didakwa menyebabkan kecederaan parah dan membakar rumah rakan wanitanya, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan tarikh itu selepas dipersetujui peguam Mohd. Radzlan Jalaludin, yang mewakili Muhammad Faiz Ghazali, 22, dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asmah Ahmad.
Pada 30 April tahun lalu, Muhammad Faiz ketika dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan tukul besi kepada Suhaiza Abas, 22, di Blok E-T02-U03, Putra Damai, Presint 11, Putrajaya pada 3.40 petang 14 Jun 2007.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Faiz didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat untuk membakar rumah dan membinasakan mangsa.
Bagi pertuduhan akhir, Muhammad Faiz didakwa dengan niat cuba membunuh Suhaiza dengan memukul dan membakar biliknya.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah mengekalkan tiada sebarang jaminan diberikan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat dan serius. – Bernama
Monday, March 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment