Friday, March 19, 2010

Taktik baru PATI elak dikesan

Oleh MARGARET GAMBANG
utusanmelaka@utusan.com.my



Anggota Rela menyoal siasat salah seorang PATI yang ditahan dalam Ops Tegas 31 di Kampung Sungai Siput, Alor Gajah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR GAJAH 19 Mac 2010 - Tinggal dalam khemah dengan beralaskan papan di kawasan ladang getah dan kelapa sawit merupakan taktik terbaru pendatang tanpa izin (PATI) di daerah ini daripada dikesan pihak berkuasa.

Perkara itu terbongkar hasil serbuan anggota Rela daerah ini dalam satu operasi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit dan getah di Kampung Sungai Siput di sini malam tadi.

Dalam Ops Tegas Ke-31 bermula kira-kira pukul 9.30 malam hingga 4.30 pagi itu, seramai 40 anggota Rela meredah hutan dalam kegelapan malam menuju ke lima lokasi yang dikenal pasti menjadi penempatan PATI.

Bagaimanapun, usaha untuk memberkas PATI berjaya dihidu awal oleh warga asing terbabit apabila daripada lima penempatan yang diserbu, Rela hanya berjaya menahan 10 lelaki warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun ketika mereka sedang nyenyak tidur.
Di beberapa penempatan lain pula, ketika serbuan dilakukan kebanyakan khemah tempat tinggal mereka didapati kosong walaupun pelbagai pakaian dan peralatan memasak ditemui di lokasi terbabit.

Pemangku Pegawai Rela Daerah Alor Gajah, Mejar Azhar Samsudin berkata, daripada 10 orang yang ditahan untuk soal siasat hanya empat daripada mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan.

''Seorang daripada PATI didapati melakukan kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya selepas operasi itu .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya Ops Tegas ke-31 itu di Kampung Sungai Siput di sini awal pagi tadi.

Menurutnya, PATI yang kebiasaannya tinggal di penempatan pekerja kini telah mengubah taktik dengan tinggal di kawasan ladang kelapa sawit dan getah semata-mata untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

"Dalam serbuan kali ini, kita hanya berjaya menahan empat warga asing atas beberapa kesalahan. Mereka berjaya menghidu awal kedatangan kita dan melarikan diri," katanya.

Menurut Azhar, serbuan yang dilakukan itu adalah hasil daripada maklumat penduduk sekitar yang mengesan wujud penempatan warga asing di kawasan ladang kelapa sawit dan getah di kampung tersebut.

Jelasnya, majikan kepada pendatang yang ditahan diminta tampil bagi menyerahkan dokumen yang sah kepada pihaknya sebelum membebaskan pendatang terbabit.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pendatang tersebut akan dihantar ke depot tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment