Tuesday, March 23, 2010

SPRM pandang serius individu menyamar pegawai

Harakahdaily
PUTRAJAYA, 24 Mac 2010: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kes-kes di mana individu menyamar sebagai pegawai penguatkuasa termasuk sebagai pegawai SPRM bagi mengugut dan meminta suapan rasuah.

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini mengingatkan mana-mana pihak yang didatangi oleh individu yang mengaku pegawai penguatkuasa hendaklah meminta kad kuasa dan mengesahkan identiti sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut.

SPRM ingin menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak terpedaya dengan tipu helah individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan terus melaporkan sebarang permintaan rasuah kepada mana-mana pejabat SPRM yang berhampiran atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6000.

Kenyataan itu turut memaklumkan SPRM Johor telah menahan dua orang lelaki berusia 52 tahun dan 48 tahun kerana meminta wang rasuah sebanyak RM500,000 daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Jumaat lalu, lebih kurang jam 5.00 petang.

Kedua-dua lelaki tersebut yang bekerja sebagai kontraktor dan bekerja sendiri dikatakan cuba mengugut dan memperdaya Datuk Bandar MBJB dengan menyatakan suapan rasuah sebanyak RM500,000 itu adalah wang rasuah untuk diserahkan kepada seorang pegawai SPRM Kuala Lumpur sebagai balasan tidak meneruskan siasatan kes rasuah yang dikatakan melibatkan Datuk Bandar tersebut.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini atas kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua seksaan tersebut.

No comments:

Post a Comment