06/03/2010 6:23pm
JEMPOL 6 Mac 2010 – Tiga lelaki anggota geng “Sawit United” mati ditembak polis selepas cuba menyerang anggota keselamatan yang mengepung mereka di kawasan tangki air, Felda Serting Hilir, Bahau, malam tadi.
Pelbagai jenis senjata tajam seperti sabit, pisau, pemotong besi dan pemutar skru ditemui berhampiran mayat ketiga-tiga lelaki itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, sekumpulan 20 anggota polis yang menjalankan operasi khas memburu anggota kumpulan itu, terserempak dengan tiga lelaki yang menunggang tiga motosikal.
Sebuah daripada motosikal itu yang menggunakan plat pendaftaran Perak dilapor dicuri di Bahau, manakala dua lagi menggunakan plat Johor dan Negeri Sembilan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, polis mengekori ketiga-tiga lelaki itu sehingga ke kawasan tangki air dan mengambil tindakan mengepung mereka, dan panik akibat terkepung, ketiga-tiga lelaki itu menyerang polis dengan senjata tajam.
Beliau berkata, hasil risikan polis mendapati kumpulan itu bergerak aktif sejak setahun lepas dan terlibat dalam 13 hingga 20 kes samun di Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Pahang.
Mereka juga dilapor turut merogol mangsa samun.
Osman berkata, kesemua lelaki yang ditembak mati itu berusia di bawah 35 tahun. – Bernama
Saturday, March 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment