Thursday, March 11, 2010

Disamun ketika jemur pakaian

KUALA LUMPUR 11 Mac 2010 - Seorang suri rumah mengalami detik cemas apabila ditolak dan diheret sambil diacukan pistol oleh dua lelaki di rumahnya di Sungai Pelong, Paya Jaras dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 49 tahun sedang menjemur pakaian di belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ketika sedang menjemur pakaian mangsa berasa curiga dan merasakan terdapat dua lembaga sedang bersembunyi di sebalik tingkap rumahnya.

Katanya, mangsa bagaimanapun terus menjemur pakaian sebelum dua lelaki tiba-tiba muncul dan menolaknya sehingga jatuh.

Mangsa, katanya, kemudian diheret masuk ke dalam rumah.

"Salah seorang suspek kemudian mengacukan sepucuk pistol ke arah muka mangsa dan bertanyakan tempat dia dan keluarga meletakkan barangan berharga.

"Seorang lagi suspek menggeledah keseluruhan rumah dan melarikan barangan kemas, komputer riba dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM50,000," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Arjunaidi, salah seorang rakan suspek dipercayai menunggu di dalam sebuah kereta jenis Proton Perdana di luar pekarangan rumah berkenaan.

Katanya, pihaknya kini sedang memburu tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment