Tuesday, March 23, 2010

‘Tak sengaja’ penyelamat nyawa

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 23 Mac 2010 – Tujuh tahun lalu, isteri kepada seorang bekas anggota tentera mendengar suaminya itu berkali-kali menyatakan ‘Baby, uncle tak sengaja, uncle tak bunuh, uncle minta maaf’ semasa menanam mayat anak tirinya dalam belukar.

Luahan perasaannya ketika itu tanpa disedari menjadi penyelamat dirinya daripada dikenakan hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan hari ini menukarkannya kepada hukuman penjara 18 tahun kerana membunuh tanpa niat kanak-kanak tersebut.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar sebulat suara menjatuhkan hukuman itu setelah Shahrul Izwan Ahmad Zaidi, 33, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin meminda tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304(a) kanun tersebut.

Hakim Suriyadi yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop dengan itu mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 8 September 2006.

Shahrul Izwan mengaku membunuh Nur Syafrida Md. Shukor yang ketika itu berusia empat tahun enam bulan di rumah mereka di Batu 4 1/2, Kampung Pasir, Kamunting, Taiping, Perak pada pukul 7 malam, 25 Jun 2002.

Rangka mangsa ditemui tertimbus dalam belukar di kawasan Sungai Siput, enam bulan kemudian ekoran pendedahan ibu mangsa ketika soal siasat bahawa dia turut berada di tempat kejadian ketika mayat anaknya ditanam.

Keterangan ibu mangsa menyatakan, pada petang tersebut dia yang sarat mengandung lapan bulan menonton televisyen manakala suaminya di bilik air memandikan kanak-kanak itu.

Kira-kira 15 minit kemudian, perayu mendukung mangsa keluar dari bilik air sambil menyatakan: “Ayang, baby dah mati, abang tak tahu, abang tak bunuh dan meletakkannya atas tikar serta cuba melakukan bantuan pernafasan.

Wanita tersebut menyatakan, dia melihat kesan lebam berbentuk bulat pada tundun anaknya selain lubang besar (tidak pasti sama ada ia faraj atau dubur) dengan ususnya hampir terkeluar.

Menyedari mangsa telah meninggal dunia, dia mengikut suaminya keluar meminjam kereta dan lelaki itu memandu ke Sungai Siput untuk melupuskan mayat tersebut.

Ketika Shahrul Izwan menanam mayat kanak-kanak itu dalam belukar, wanita itu mendengar suaminya berulang kali menyatakan dia tidak sengaja dan tidak membunuh selain meminta maaf kepada mangsa.

Kejadian itu dirahsiakan dan hanya terbongkar enam bulan kemudian setelah bapa mertua bekas anggota tentera itu datang ke rumah tersebut untuk menjemput cucunya.

Laporan polis dibuat setelah datuk mangsa meradang kerana kedua-duanya berdolak-dalik dengan menyatakan kanak-kanak itu hilang di Bukit Merah Lake Town Resort.

Saiful Edris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan mangsa sepatutnya diberi peluang membesar seperti kanak-kanak lain namun, satu nyawa melayang dan apa pun jua hukuman sekalipun tidak dapat mengembalikannya.

Peguam K. Subramaniam yang mewakili Shahrul Izwan ketika mencadangkan hukuman penjara 12 tahun sebagai munasabah turut memohon agar anak guamnya tidak didenda.

No comments:

Post a Comment