Wednesday, March 31, 2010

Pasangan kekasih edar dadah ditahan

KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Sepasang kekasih adalah antara tiga yang ditahan polis dipercayai pengedar dadah di sekitar Cheras di sini, awal pagi ini dan malam tadi.

Polis turut merampas sejumlah dadah membabitkan ekstasi bernilai RM12,000, syabu (RM2,100); Eramin 5 (RM1,710) dan ketamin (RM130).

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta yang dinaiki pasangan kekasih itu ditahan oleh sepasukan polis berhampiran sebuah hotel di Maluri di sini selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan badan ke atas suspek lelaki yang berusia 38 tahun itu menemui syabu seberat 0.28 gram di dalam poket seluarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, pemeriksaan beg tangan milik teman wanita suspek itu pula, polis menemui 14 pil Eramin 5.

Menurutnya, polis turut menemui 61.9 gram, 100 biji pil Eramin 5 dan wang tunai RM8,000 dipercayai hasil jualan dadah di papan pemuka kereta tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya pasangan itu aktif sejak Ogos lalu dan menjadi pengedar dadah kepada pusat-pusat hiburan di sekitar Cheras dan Dang Wangi," katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi kejadian berasingan kira-kira 9.30 malam tadi, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan berhampiran restoran di sini selepas polis mencurigai sesuatu.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dinaiki suspek itu menemui sejumlah dadah di dalam beg silang miliknya.

Katanya lagi, kesemua dadah itu terdiri daripada 50 biji pil ekstasi dalam satu bungkusan dan dua peket lagi mengandungi 100 biji pil ekstasi berwarna merah.

Turut ditemui, katanya, satu bungkusan plastik mengandungi syabu dianggarkan seberat satu gram.

No comments:

Post a Comment