Thursday, March 4, 2010

Bomoh antara 2 ditembak mati (4/3/10)

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
bhnews@bharian.com.my
BERA: Polis menembak mati dua lelaki dengan seorang daripadanya dipercayai pengamal perubatan tradisional kerana terbabit dalam jenayah samun di daerah ini, dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Chenor-Kuala Bera, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, dua penyamun terbabit yang masing-masing berusia 45 dan 50 tahun berasal dari Kampung Bangau, dekat Temerloh ditemui mati di tempat kejadian.

Bagaimanapun, polis enggan mendedahkan identiti dua lelaki terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapha, berkata sebelum kejadian, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta Proton Saga sebelum pemandunya tiba-tiba memecut kenderaannya.

Beliau berkata, polis yang mencurigai kenderaan terbabit kemudian mengejar mereka sebelum suspek membelok ke kiri jalan dan masuk ke dalam ladang getah, kira-kira enam kilometer dari Jalan Chenor-Kuala Bera.

Katanya, seorang daripada lelaki itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis sebelum polis membalas tembakan dan mengenai dua suspek berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan polis dalam kenderaan terbabit mengesahkan dua suspek itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di tubuh.

“Hasil pemeriksaan dalam but kereta turut menemui sebilah parang panjang, seketul ganja mampat seberat 198 gram, wang tunai RM1,566, seutas jam tangan, dua telefon bimbit, tiga keping syiling lama Indonesia dan gelang tangan.

“Kita turut menemui sepucuk pistol jenama Colt 0.38 yang dipercayai digunakan seorang daripada suspek ketika berbalas tembakan dengan anggota polis,” katanya di sini, semalam.

Nordin berkata, mayat dua suspek terbabit dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta Proton Saga itu adalah milik seorang daripada suspek dan polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungan dengan dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang masih bebas dan dikatakan terbabit melakukan jenayah samun di sekitar daerah ini.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment