Friday, March 19, 2010

Warga Afrika guna voodoo pukau wanita bawa dadah

2010/03/20
KUALA LUMPUR: Sindiket antarabangsa yang didalangi warga Afrika di negara ini dipercayai mengamalkan sihir pukau kuno, voodoo untuk memperdayakan wanita tempatan bagi pelbagai tujuan jenayah, termasuk sebagai penyeludup dadah.

Difahamkan, kegiatan itu mula berleluasa sejak setahun lalu, dengan mangsa turut menjadi habuan seks anggota sindiket sebelum dilacurkan, selain diperalatkan untuk kegiatan pemalsuan wang dan kad kredit hingga ke luar negara.

Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa biasanya tidak sedar mereka dipukau dengan pemikiran dan kelakuan mereka dikawal anggota sindiket seperti beberapa kes penahanan wanita tempatan kerana menyeludup dadah di luar negara sebelum ini. “Dalam keterangan diberikan mereka, kebanyakannya mendakwa tidak sedar membawa dadah. Ada yang mengaku cuma mengikut arahan konco sindiket membawa bungkusan tertentu tanpa memeriksa isi kandungannya.

“Ini mustahil berlaku jika mangsa tidak dipukau. Kesan voodoo memang dahsyat kerana menjadikan mangsanya tidak ubah seperti mayat hidup (zombie), yang sekadar mengikut arahan pengamal sihir itu,” katanya.

Secara tradisinya, voodoo adalah sebahagian daripada upacara ritual di Afrika Barat sebelum amalan itu berkembang ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS) berikutan aktiviti perhambaan oleh penjajah kolonial.

Ia dikatakan kepercayaan animisme bagi kaum Fon, Ewe dan Yoruba di benua itu, yang biasanya dimulakan dengan bacaan mantera menyeru semangat roh nenek moyang mereka sebelum menggunakan patung jerami untuk mengenakan mangsa.

“Mangsa memang sukar dipulihkan, tetapi ada dakwaan kesannya berkurangan apabila menyeberangi laut. Bagaimanapun, kesahihannya tidak dapat dipastikan kerana tiada bukti boleh menyokong dakwaan itu,” katanya.

Sumber yang teman wanitanya turut menjadi mangsa sindiket, berkata kegiatan itu mungkin baru di Malaysia, tetapi cukup berleluasa di luar negara untuk tujuan jenayah.

“Ia tidak masuk akal, lebih-lebih lagi dalam zaman moden hari ini. Bagaimanapun, AFP pada 5 Disember lalu melaporkan dua warga Nigeria dipenjarakan di Hague, Belanda kerana menggunakan voodoo untuk memukau 140 gadis sebelum dilacurkan di Eropah.

“Ini mungkin teknik jenayah baru yang mampu mendatangkan implikasi besar jika tidak dikawal. Daripada zombie kemudian menjadi robot manusia. Bayangkan jika rahsia itu diketahui pengganas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima banyak laporan kes jenayah membabitkan warga Afrika, termasuk kes pukau berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan sukar dilakukan kerana di antara mangsa pukau terbabit, yang kebanyakannya wanita, enggan bekerjasama dan tidak mengingati kejadian serta mengecam suspek.

“Polis sudah mengenalpasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan warga Afrika ini dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan itu,” katanya

No comments:

Post a Comment