Monday, March 29, 2010

Warga Indonesia dipenjara sembilan tahun, tiga sebatan

SHAH ALAM 29 Mac 2010 - Seorang penganggur warganegara Indonesia dihukum penjara sembilan tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak pembantu juruteknik dengan bersenjatakan pemutar skru pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memerintahkan hukuman terhadap Anjas Anuar, 31, yang berasal dari Batam itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 April 2009.

Anjas mengaku merompak wang tunai RM300, sepasang subang dan dua gelang emas serta tiga telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM2,500 milik Zawawi Mohammad, 51, dengan bersenjatakan pemutar skru.

Dia bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No.1, Jalan TRJ1/11C, Taman Rahmat Jaya Kundang, Rawang dekat sini pada pukul 3.30 pagi, 23 April 2009.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, sambil meminta maaf, Anjas memohon agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil selain isterinya tidak berkerja.

Wan Noora Nisa bagaimanapun memohon hukuman yang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh yang telah menyebabkan mangsa sekeluarga mengalami trauma akibat kejadian itu.

Lebih-lebih lagi, hujah beliau, tertuduh seorang pendatang yang masuk ke Malaysia dengan tujuan mencari rezeki dan tidak sepatutnya terlibat dengan perbuatan jenayah.

Mengikut fakta kes, Anjas ditangkap sendiri oleh Zawawi yang bertindak merampas pemutar skru yang menjadi senjata Anjas dalam kejadian pecah masuk ke rumahnya tahun lalu.

Dua daripada rakan Anjas yang berjaya melarikan diri masih gagal dikesan.

No comments:

Post a Comment