Wednesday, March 24, 2010

Lima remaja termasuk seorang juvana hadapi tuduhan bunuh remaja lain

2010/03/24
MELAKA: Lima pemuda termasuk seorang juvana berumur antara 17 hingga 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana dituduh membunuh seorang remaja berusia 17 tahun di Semabok, dekat sini pada 11 Mac lalu.

Chua Kim Hock, 20, dari Semabok; Lim Chin Aun, 18, dari Chemor, Perak; Choo Cheng Chye, 24, dari Bukit Katil; Yeo Chee Teong, 22, dari Semabok dan seorang juvana, 17, dari Sungai Rambai, didakwa atas niat bersama menyebabkan kematian Yap Wai Seng di alamat 149A, Jalan Johor, Semabok.

Yap yang beralamat Taman Seri Kerubong, di sini, tidak lagi bersekolah dan bekerja sambilan sebagai mekanik motosikal. Akhbar-akhbar melaporkan mayatnya ditemui di dalam sebuah but kereta yang dinaiki empat lelaki pada satu pemeriksaan oleh anggota polis, yang mengadakan sekatan jalan raya di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 1.15 pagi pada 12 Mac lalu.

Kelima-lima tertuduh yang memakai baju lokap polis mengangguk faham selepas pertuduhan dalam Bahasa Mandarin dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Namun, tiada pengakuan direkodkan.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mohd Asrar.
Hanya tertuduh pertama, Chua, diwakili oleh peguam bela, A Rengganathan manakala empat lagi tidak diwakili peguam bela.

Chua ialah seorang penjual sayur, Lim tidak bekerja, Choo seorang tukang masak dan Yeo pula seorang peniaga gerai makanan.

Juvana yang tidak lagi bersekolah itu adalah pembantu di sebuah kedai peralatan logam.
Hakim Mohd Fairuz Johari menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei ini bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia. - Bernama

No comments:

Post a Comment