Thursday, March 25, 2010

Empat lelaki Indonesia diburu

JOHOR BAHRU 25 Mac 2010 - Polis kini sedang memburu empat lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah di negeri ini sejak awal tahun lalu.

Empat penjenayah berusia lingkungan 20-an itu dikenali sebagai Saipudin, Gandi Mulyono, Peri Padli dan Azhar Awaludin yang kini dipercayai berada di kampung halaman masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan keempat-empat lelaki terbabit akan kembali memasuki negeri ini pada bila-bila masa.

"Keempat-empat suspek disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah samun, cabul dan pecah rumah. Mereka juga dipercayai sering melakukan jenayah ke atas rakan senegara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Hari Peringatan Polis Ke-203 peringkat negeri di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin memberitahu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kulaijaya telah menahan seorang penunggang motosikal di kawasan tempat letak kereta di Plaza Tol Sedenak kerana memiliki satu ketul daun mampat kering disyaki ganja seberat 460 gram baru-baru ini.

Sebahagian dadah yang disimpan dalam satu bungkusan plastik berwarna merah itu turut dibalut dengan pita pelekat lutsinar dan dibungkus dengan kertas, katanya.

"Ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis ganja. Namun siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan salah seorang pengedar dadah di kawasan Sedenak dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment