Wednesday, March 10, 2010

9 ahli kongsi gelap Ang Kim Lan ditahan

JOHOR BAHRU 10 Mac 2010 - Sembilan ahli kumpulan kongsi gelap Ang Kim Lan ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang warga emas malam kelmarin, yang dipercayai akibat perebutan kawasan mengedar dadah di Seri Alam di sini.

Kumpulan tersebut juga sebelum itu dipercayai bertanggungjawab membakar sebuah kereta jenis Proton Perdana V6 dan Perodua Kelisa milik seorang lelaki lain di Taman Rinting, Masai, semalam.

Dalam serangan pertama, seorang lelaki berusia 68 tahun dan menantu lelakinya diserang di luar kawasan rumahnya di Bandar Seri Alam oleh ahli kumpulan itu yang bersenjatakan parang pada pukul 10.10 malam, kelmarin.

Warga emas itu yang dikelar di beberapa bahagian badannya akhirnya meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, manakala menantunya yang turut dikelar masih dirawat di Hospital Pakar Johor di sini.

Difahamkan, kumpulan tersebut sebenarnya menyasarkan anak lelaki warga emas itu yang berusia 20-an dan dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap pesaing mereka.

Polis juga difahamkan telah menyoal siasat anak mangsa tersebut untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beberapa jam selepas kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, anggota kumpulan tersebut menyerang pula rumah seorang lelaki di Taman Rinting dan membakar sebuah kereta Proton Perdana V6 dan Perodua Kelisa.

Mangsa yang baru dibebaskan daripada kesalahan berkaitan kes dadah dipercayai musuh kepada kumpulan itu.

Lelaki tersebut bagaimanapun tidak dicederakan dalam serangan itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Amer Awal berkata, satu pasukan khas yang ditubuhkan sebaik kejadian itu berjaya menahan sembilan anggota kumpulan Ang Kim Lan berusia antara 20 dan 30 tahun di Seri Alam dan Masai, semalam.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam pergaduhan antara mereka kerana berebut kawasan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

"Kita telah mengenal pasti 10 lagi ahli kumpulan itu dan sedang memburu mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian hotline polis negeri di 07-2212999 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment