Friday, March 12, 2010

Wanita China, tiga warga Iran dicekup

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/03/13

KUALA LUMPUR: Tiga warga Iran dan seorang wanita warga China ditahan kerana disyaki memiliki kira-kira 12 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.5 juta dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhamad Sabtu, berkata dalam serbuan jam 4.40 petang, Selasa lalu, seorang lelaki warga Iran berusia 57 tahun ditahan
di tepi jalan di Brickfields. Katanya, lima plastik lut- sinar serbuk dan ketulan syabu seberat 10 kilogram ditemui dalam beg pakaian suspek.

“Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 27 tahun
di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya.

“Suspek mendakwa mereka peniaga barangan elektrik, namun siasatan mendapati mereka pembawa dadah. Selain itu, kita turut merampas wang tunai RM1,300 dan 378,000 riyal Iran (RM126),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan mendapati semua dadah itu dibawa masuk dari Dubai.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan jam 10.30 malam Rabu lalu, polis menahan pasangan kekasih warga China dan Iran, dipercayai terbabit mengedar dadah, dalam serbuan di Cheras.

Muhammad Sabtu berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 34 dan 42 tahun itu, polis menemui dua bungkus dan lima paket kecil plastik lut-sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 1.9 kilogram.

Polis turut merampas wang tunai, alat penimbang, kereta, telefon bimbit dan barang kemas.

“Siasatan mendapati lelaki Iran itu tidak bekerja sementara wanita warga China itu pelajar sebuah kolej swasta.

“Semua suspek kini ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

sambil menambah sehingga kini pihaknya sudah menahan 42 warga Iran yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

No comments:

Post a Comment