Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
SEREMBAN: Tiga penjenayah dipercayai ahli ‘Sawit United’ yang terbabit dalam lebih 40 kes pecah rumah dan samun di negeri ini, Melaka, Pahang dan Johor, ditembak mati ketika cuba menyerang anggota polis berhampiran tangki air sebuah ladang kelapa sawit Serting Hilir dekat Bandar Seri Jempol, Jempol, malam kelmarin.
Mereka termasuk seorang ketua kumpulan, dipercayai ketika melakukan jenayah turut terbabit dalam satu kejadian merogol dan meliwat di Johor.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mereka bersama tiga lelaki lain yang sempat melarikan diri, dipercayai berkumpul di situ untuk merancang melakukan jenayah di kawasan sekitar.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata enam anggota polis, iaitu sebahagian daripada 20 anggota polis yang menyertai gerakan menjejaki penjenayah terbabit terserempak dengan mereka yang menunggang motosikal.
Katanya, mereka yang terkepung turun dari motosikal dan masing-masing yang bersenjatakan sebilah pisau, sabit dan pemutar skru cuba menyerang anggota polis.
"Bagaimanapun, anggota polis sempat melepaskan lapan das tembakan menyebabkan penjenayah terbabit mati di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam.
Selain tiga senjata terbabit, Osman berkata, polis menemui satu alat pemotong dalam bakul motosikal dan anggota kumpulan terbabit juga dipercayai memiliki senjata api berdasarkan penemuan tiga butir peluru 9mm berdekatan mayat mereka.
Katanya, motosikal yang digunakan didaftarkan di Perak dilaporkan hilang di Bahau, Jempol, manakala dua lagi mempunyai nombor pendaftaran negeri ini dan Johor.
Berikutan kematian tiga lelaki terbabit yang berumur bawah 35 tahun, katanya polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes pecah rumah dan samun di negeri ini serta 30 kes sama di Melaka, Pahang dan Johor.
Berhubung identiti mereka, katanya tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan polis akan menjalankan ujian cap jari untuk mengetahui sama ada mereka adalah rakyat tempatan atau warga asing.
Osman berkata, kumpulan terbabit dijejaki sejak lebih setahun lalu sering berpindah di keempat-empat negeri.
Selepas melakukan jenayah di sebuah negeri, mereka menghilangkan diri dan kemudian melakukan lagi di negeri lain.
"Biasanya mereka akan berkumpul di ladang kelapa sawit untuk membuat perancangan sebelum melakukan perbuatan jenayah di kawasan sekitar hingga polis melabelkan mereka sebagai kumpulan `Sawit United'.
Katanya, mayat penjenayah terbabit ditempatkan di Hospital Jempol dan bedah siasat akan dilakukan hari ini. Selain itu, gambar mereka akan ditunjukkan kepada mangsa untuk tujuan pengecaman.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment