Sunday, March 14, 2010

Kumpulan pecah rumah ditahan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/03/15
AMPANG: Polis menumpaskan Geng ‘Botak’ dengan memberkas tiga anggota termasuk ketua kumpulan terbabit yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Ampang, Cheras dan Kajang dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pasar, Pudu dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 38 dan 55 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan kira-kira jam 6.15 petang hasil maklumat awam dan risikan.

“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek termasuk ketuanya yang dikenali sebagai ‘Botak’ sedang menyusun barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah. “Soal siasat juga mendapati, mereka baru saja memecah masuk tiga buah rumah termasuk sebuah di Ampang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan ke atas kediaman terbabit, polis menemui pelbagai barangan elektrik serta dokumen berharga bernilai hampir RM200,000 serta peralatan pecah rumah.

“Kita percaya rumah itu dijadikan sebagai tempat persinggahan dan pertemuan kumpulan ini selain tempat menyimpan hasil kegiatan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit mensasarkan rumah tidak berpenghuni terutama pada hari bekerja iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
“Suspek akan berkomunikasi antara satu sama lain, dengan satu kumpulan akan masuk ke dalam rumah manakala satu lagi kumpulan akan menjadi pemerhati
di luar,” katanya.

Abdul Jalil berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penjenayah tegar, dengan dua daripada suspek turut berada dalam senarai individu dikehendaki atas kesalahan memiliki senjata api.

Katanya, polis sedang mengesan saki baki anggota kumpulan berkenaan termasuk sepasang suami isteri berusia 30-an dan 40-an kerana disyaki terbabit dengan kumpulan itu.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman tiga hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment