Tuesday, March 30, 2010

Badrul sifatkan masalah rumahtangga

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pelakon dan model terkenal tahun 90-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani menyifatkan kes pergaduhan antaranya dan isteri, Julia Daud, 28, sebagai masalah rumahtangga yang terlalu peribadi untuk dikongsi.

Sehubungan itu, Badrul, 41, meminta semua pihak supaya menghormati hak peribadi dan memberinya ruang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau juga menganggap laporan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan telah disensasi dan diperbesarkan sehingga menjejaskan rutin hariannya sebagai seorang artis.

Dalam hal ini, beliau memberi jaminan akan bertemu dengan pihak polis secepat mungkin seperti mana diminta pihak berkuasa berkenaan.

"Apa yang berlaku sekarang amat menyusahkan kehidupan saya serta menyukarkan lagi hubungan antara saya dan isteri.

"Saya tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana laporan terbabit. Namun percayalah keadaan sebenar tidak seteruk mana... Hanya selisih faham antara suami isteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelakon itu gagal dikesan selepas dipercayai memukul isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru pada pagi Rabu lalu.

Semalam, Julia menceritakan kejadian yang menimpa dirinya itu yang dianggap mimpi ngeri dalam perkahwinannya.

Sepanjang tiga tahun usia perkahwinan mereka, Julia turut mengakui 'makan hati berulam jantung' memikirkan kesudahan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta itu.

Ditanya tindakan isterinya membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur selepas kejadian, Badrul enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment