KUALA LUMPUR 29 Mac 2010 - Kegiatan sekumpulan lelaki yang memecah kereta untuk mencuri barang berharga seperti komputer riba di kawasan Pantai Dalam, Brickfields di sini, berjaya ditumpaskan polis menerusi beberapa tangkapan minggu lalu.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 23 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga hari bermula 23 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan itu mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes termasuk kes terbaru membabitkan seorang mangsa wanita pada 16 Mac lalu.
Katanya, tangkapan suspek adalah hasil tindakan susulan satu laporan polis yang dilakukan seorang pegawai Teknologi Maklumat (IT) wanita berusia 36 tahun, mendakwa keretanya dipecah dan komputer riba milik syarikatnya dilarikan.
"Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Pantai Baru pada pukul 9.50 malam ketika mangsa sedang makan bersama rakan-rakannya.
"Mangsa hanya menyedari komputer riba itu dicuri ketika ingin mengambil keretanya yang diletakkan di bahu jalan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Abdul Bari memberitahu, hasil tangkapan suspek juga menemui tiga komputer riba yang dipercayai hasil curi.
"Setiap komputer riba dipercayai dijual kepada pembeli yang berminat pada harga murah iaitu di antara RM700 dan RM1,000," jelasnya.
Sehubungan itu, Wan Abdul Bari menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan berharga seperti komputer riba di dalam kereta untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.
"Jangan sangka anda tidak akan kena, elakkan risiko sebegitu. Saya juga ingin nasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi orang tidak dikenali yang menawarkan komputer riba pada harga rendah.
"Adalah menjadi kesalahan untuk membeli atau memiliki barangan curi," tegas beliau.
Dalam satu kes berasingan, katanya, seorang warga Amerika Syarikat dilaporkan lemas ketika berenang bersama dua anaknya di kolam renang sebuah kondominium di Bukit Bandaraya pada pukul 4 petang semalam.
Mangsa yang berusia 41 tahun merupakan eksekutif di sebuah syarikat minyak di ibu negara, mati ketika dalam perjalanan ke Pusat Pakar Damansara.
Wan Abdul Bari berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Monday, March 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment