Friday, March 26, 2010

Sindiket pelacuran Pulau Pinang tumpas

2010/03/26
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pelacuran menggunakan wanita warga asing yang mampu menghasilkan kutipan RM93,000 sebulan selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Baru, Perai di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tunku Said, berkata hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu sebuah hotel dan menahan seorang lelaki yang disyaki "bapa ayam" di situ.

"Semasa serbuan pada 11.30 malam itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan baru selesai berurusan dengan pelanggan berhubung tempahan pelacur," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, polis menahan lima wanita warga China yang sedang melacur dalam bilik di hotel berkenaan.

"Lima daripada mereka berusia antara 26 dan 28 tahun berada dalam keadaan separuh bogel dan sedang melayan lima lelaki tempatan dalam bilik masing-masing," katanya.

Wan Abdullah berkata, dalam operasi itu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang remaja wanita warga China berusia 17 tahun yang dipercayai dipergunakan sindiket itu untuk menjadi pelacur.

Katanya, polis merampas beberapa kondom yang telah dan belum digunakan, gel pelincir, buku catatan dan wang tunai RM3,512.

"Sindiket itu dipercayai memperoleh RM200 untuk setiap khidmat pelacur dan dipercayai terdapat 10 hingga 15 pelanggan menggunakan perkhidmatan pelacuran berkenaan setiap hari," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan memperdagangkan kanak-kanak sebagai pelacur menurut Seksyen 14.

"Lima wanita warga asing turut direman kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan disiasat menurut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment