Monday, March 29, 2010

Polis rampas komputer, syabu dalam serbuan

RANAU 29 Mac 2010 - Polis menahan lapan lelaki dan merampas 18 unit komputer yang diubah suai untuk tujuan perjudian di sebuah pusat snuker di Jalan Lasing, di sini semalam. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Hashim berkata, ketika ditahan kesemua mereka sedang leka berjudi di dalam premis terbabit.

"Polis menemui wang tunai RM373 yang disyaki digunakan untuk berjudi. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Menurut Suhaimi, dalam operasi berlainan, seorang lelaki berusia 20-an ditahan di dalam sebuah hotel berdekatan Kampung Muhibah.

"Sebanyak 24 peket plastik berisi tujuh gram hablur putih dipercayai syabu ditemui di dalam beg suspek.

"Hasil ujian ujian air kencing, dia juga didapati positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki berusia 21 tahun turut ditahan kerana memiliki satu peket plastik berisi 0.4 gram syabu di sebuah rumah berdekatan kampung sama.

Tambahnya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment