Wednesday, March 17, 2010

Polis tahan lelaki Myanmar, rampas heroin RM125,000

SUNGAI PETANI 17 Mac 2010 - Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini berjaya ditahan dekat Bandar Laguna Merbok di sini malam tadi.

Turut dirampas daripada suspek adalah beberapa peket dadah jenis heroin seberat 3,150 gram dengan nilai pasaran RM125,000 dan 1,200 biji pil khayal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam selepas sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua lelaki di Plaza Tol Sungai Lalang di sini.

Ketika menghampiri dua suspek berusia 26 dan 30-an itu, mereka memecut laju.

"Kereta peronda polis mengejarnya sehingga kereta Proton Waja tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan," katanya di sini hari ini.

Menurut Hashim, dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang daripada suspek berkenaan melarikan diri ke dalam belukar.

Bagaimanapun, katanya, polis dengan bantuan orang awam berjaya menahan seorang lagi suspek.

"Suspek yang mengalami kecederaan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sementara gerakan mencari rakannya dengan bantuan Unit Anjing Pengesan gagal," katanya.

Beliau memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui beberapa peket heroin dan pil dipercayai untuk diproses sebelum diedar ke pasaran.

"Dadah dijumpai itu merupakan heroin mentah yang belum diproses. Kita percaya ia dibawa untuk menjalani proses pembungkusan di lokasi lain sebelum diagihkan kepada pembeli," katanya.

Tambah Hashim, polis menyiasat kemungkinan terdapat dalang dalam kegiatan kedua-dua suspek.

"Kita juga akan memanggil pemilik kenderaan yang digunakan oleh suspek untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, suspek berusia 26 tahun itu kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

No comments:

Post a Comment