Monday, February 28, 2011

Kecoh nelayan Vietnam mabuk bergaduh

Kecoh nelayan Vietnam mabuk bergaduh

ANGGOTA polis mengawal dua kumpulan nelayan warga Vietnam yang ditahan setelah terbabit dalam pergaduhan di Jeti Pelabuhan Perikanan Cendering, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN//AZLAN BAHRUM

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Suasana di Jeti Pelabuhan Perikanan Cendering dekat sini kecoh awal pagi ini apabila dua kumpulan nelayan warga Vietnam terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dua daripadanya parah.

Kejadian berlaku antara pukul 7.30 pagi hingga 8 pagi ketika kesemua 19 nelayan berusia lingkungan 20-an itu dikatakan mabuk selepas mengambil minuman keras sejurus selepas berlabuh di jeti itu seawal pukul 4 pagi.

Berikutan kejadian itu, enam orang nelayan ditangkap oleh polis manakala tiga lagi sempat melarikan diri ke arah Bukit Cendering yang terletak tidak jauh dari kawasan itu.

Dua nelayan yang cedera parah di rusuk kiri, paha dan kepala dalam kejadian itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Difahamkan, suasana di jeti bertukar kecoh serta kelam-kabut apabila berlaku aksi pergaduhan melibatkan senjata seperti parang dan batang besi meter di sekitar jeti itu.

Polis menemui dua bilah parang dan sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, sejumlah senjata lain sempat dibuang ke dalam laut sebelum anggota polis tiba di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua nelayan Vietnam dalam keadaan parah.

"Seorang daripadanya ditikam pada rusuk kiri dan paha manakala seorang lagi luka di kepala. Enam lagi berjaya diberkas manakala tiga lagi melarikan diri ke arah bukit berhampiran.

"Anggota polis dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuala Terengganu, IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) serta Unit Anjing Pengesan segera dikerah untuk menjejaki tiga nelayan Vietnam yang lepas lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Manoharan, dua kumpulan nelayan Vietnam itu tiba dengan bot berasingan di pelabuhan tersebut antara pukul 4 hingga 5 pagi sebelum mereka dipercayai mengambil minuman keras.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, berlaku salah faham antara mereka sehingga tercetus pergaduhan yang menyebabkan dua daripadanya cedera parah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui, ujarnya

Lelaki didakwa miliki Revolver, peluru

Lelaki didakwa miliki Revolver, peluru


RUSMA Mustapa ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 28 Feb. - Seorang pemandu kereta 'prebet sapu' didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki sepucuk Revolver dan empat butir peluru.

Bagaimanapun tertuduh, Rusma Mustapa, 49, dari Kampung Kerasak, Bunut Susu, Pasir Mas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zainal L. Salleh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin.

Dalam pertuduhan pertama, Rusma didakwa memiliki sepucuk Revolver 22 jenis Smith & Wesson, yang menyalahi undang-undang pada pukul 1.45 petang, 14 Februari lalu di Pos A, Komplek CIQ, Bukit Bunga, Tanah Merah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan tempat yang sama tertuduh didakwa memiliki empat butir peluru tanpa lesen sah.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim menetapkan 28 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam. Dia ditahan reman di penjara kerana tiada jaminan ditawarkan.

Sunday, February 27, 2011

11 pelajar dakwa dicabul guru disiplin

11 pelajar dakwa dicabul guru disiplin
Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim

2011/02/28
Cikgu letak tangan atas dada lepas merotan

KUALA LUMPUR: Sebelas pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Ampang di sini, mengadu dicabul guru disiplin ketika merotan mereka bagi kesalahan tidak hadir perhimpunan kerana menyiapkan kerja sekolah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi, guru lelaki berusia 40-an itu didakwa meletakkan tangannya pada bahagian dada pelajar terbabit kononnya bagi merasai denyutan jantung ketika merotan punggung mereka. Semua pelajar terbabit sebelum itu dikatakan berada dalam kelas bersama dua lagi pelajar lelaki kerana menyiapkan kerja sekolah sebelum ketidakhadiran mereka ke perhimpunan disedari seorang pengawas. Pengawas itu kemudian mencatatkan nama semua pelajar berkenaan sebelum membawa mereka berjumpa guru disiplin.

Sumber berkata, apabila berjumpa guru disiplin, semua 13 pelajar termasuk dua pelajar lelaki dirotan di punggung dengan guru berkenaan didakwa memegang dada pelajar perempuan kononnya untuk merasai denyutan jantung mereka.

Katanya, berikutan kejadian itu, pelajar perempuan terbabit mengadu kepada ibu bapa mereka sebelum ibu kepada salah seorang pelajar datang ke sekolah pada hari sama untuk mendapatkan penjelasan.

“Ketika wanita itu cuba mendapatkan penjelasan, guru disiplin terbabit dikatakan naik berang dan mencampakkan buku ke lantai menyebabkan wanita terbabit cuba berjumpa pengetua sekolah namun tetap tidak berhasil.
“Berikutan itu, beliau membuat laporan polis pada hari sama,” katanya semalam.
Difahamkan, guru lelaki itu kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Peragut baru kahwindi penjara 4 tahun

Peragut baru kahwindi penjara 4 tahun


MUHAMMAD Khairul Amir Mohd. Kamal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 25 Feb. - Seorang penjual burger yang baru dua bulan melangsungkan perkahwinannya dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan, tahun lalu.

Hakim Roslan Ahmad memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Muhammad Khairul Amir Mohd. Kamal, 23, yang berasal dari Jalan Perda Utama, Bukit Mertajam berkuat kuasa mulai hari ini.

Sebaik sahaja hukuman dibacakan, tertuduh yang berbaju-T dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepalanya.

Dalam keadaan sebak dia juga beberapa kali memandang isteri dan ibunya yang berada di galeri awam.

Mahkamah sepatutnya hari ini mendengar keterangan tertuduh setelah dia diperintahkan membela diri atas tuduhan itu 7 Februari lalu. Bagaimanapun, dia memilih untuk mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairul Amir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan dengan mengambil sebuah beg pinggang berwarna hitam daripada mangsa, Yong Guan Seng, 48.

Perbuatan itu dilakukannya pada pukul 3.05 petang, 13 Julai 2010, di Jalan Mount Erskine (berhampiran kubur Cina) di sini.

Beg tersebut mengandungi wang tunai RM1,000, empat kad kredit pelbagai bank, kad pengenalan, lesen memandu, dua telefon bimbit, serangkai kunci, dan beberapa dokumen lain milik mangsa.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanipah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang membonceng sebuah motosikal bersama rakannya bertindak membuka beg pinggang milik mangsa dari arah belakang sebelum melarikannya.

Mangsa bagaimanapun sempat mengecam muka dan warna pakaian suspek ketika itu.

Tertuduh juga menoleh beberapa kali ke arah mangsa sambil mentertawakannya tetapi motosikal yang dinaiki suspek berpatah balik ke tempat kejadian semula kerana tersesat jalan.

Ketika itu, mangsa sempat menyalin nombor pendaftaran motosikal tertuduh yang dipercayai palsu dan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Hasil maklumat daripada mangsa, suspek bersama rakannya itu berjaya ditahan di kawasan Weld Quay kira-kira 15 minit kemudiannya dan berlaku pergelutan. Rakan tertuduh sempat melarikan diri dan tidak berjaya ditangkap sehingga kini.

Jom Heboh: Wanita dicekup ketika meragut

Jom Heboh: Wanita dicekup ketika meragut
KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Orang ramai ke Karnival Jom Heboh di sini, dengan niat untuk berhibur, namun lain pula dilakukan wanita ini apabila ke karnival itu dengan tujuan meragut.

Tindakannya bagaimanapun memakan diri apabila dia dicekup ketika cuba meragut rantai emas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin berkata, suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Pulau Pinang berjaya dicekup orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Berikutan penahanan wanita itu, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes ragut sepanjang karnival terbabit, sejak kelmarin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada masa sama, Zamri berkata, pihaknya berjaya menghalang satu cubaan untuk mencuri motosikal pada hari kedua karnival itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan semua pihak kerana turut sama membantu polis bagi mencegah kegiatan jenayah," katanya

Lelaki mati dipercayai ditikam

Lelaki mati dipercayai ditikam

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 27 Feb. – Seorang lelaki dibunuh kejam apabila ditikam dan mayatnya dicampak di bahu jalan di bawah jejantas Jalan Lencongan Barat berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini malam tadi.

Mangsa, K. Maran, 31, ditemui pukul 10.30 malam oleh penunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah di kepala selain terdapat kesan tikaman di belakang badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan itu.

“Mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah. Ketika ditemui, mangsa masih memakai pakaian dan tali leher berwarna emas.

“Kita menolak kemungkinan motif samun kerana barangan peribadi lain dan wang tunai masih berada bersama mangsa.

“Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh tidak lebih lima jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Menurut Mohd. Zakaria, berdasarkan semakan awal, mangsa tinggal di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, kira-kira lima kilometer dari lokasi mayatnya ditemui.

Katanya, pemeriksaan polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

Polis katanya, setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian mangsa keluar bersembahyang di sebuah kuil berdekatan rumahnya.

Bagaimanapun, dia mendakwa, sekumpulan lelaki muncul secara tiba-tiba dan memanggil mangsa keluar dari kuil.

“Selepas itu, berlaku pergelutan dan kumpulan lelaki tersebut kemudian membawa Maran naik kereta,” katanya.

Dia memberitahu, ahli keluarga kemudian dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam tadi

Wednesday, February 23, 2011

Samun: Dua penjenayah dicekup

Samun: Dua penjenayah dicekup

Oleh ANGELINA SINYANG dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my



ANGGOTA forensik memeriksa barang-barang yang ditemui dalam kereta BMW milik penjenayah di Jalan Persiaran Ikhlas, Subang Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SUBANG JAYA 23 Feb. - Empat penjenayah bukan hanya 'berputih mata' untuk menikmati wang hasil samun, malah dua daripada mereka bakal meringkuk dalam penjara apabila dicekup polis semasa melarikan diri selepas menyamun pelanggan bank.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, suspek bersenjatakan parang dan tukul besi telah memecahkan cermin kereta Honda Accord dinaiki tiga beradik yang baru selesai mengeluarkan wang dari sebuah bank di Jalan USJ10 1J di sini.

Suspek yang cukup berani apabila tidak memakai topeng semasa melakukan jenayah itu kemudian meragut beg berisi wang daripada mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta BMW.

Penjenayah bagaimanapun terperangkap apabila terserempak dengan sepasukan anggota polis peronda di kawasan berhampiran yang kemudian mengejar dan berjaya menangkap dua daripada mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Abdul Aziz Abdul Majid berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai telah memerhatikan mangsa mengeluarkan wang di bank berkenaan.

"Pada pukul 11.30 pagi, dua beradik perempuan telah masuk ke bank untuk mengeluarkan wang, manakala seorang saudara lelakinya menunggu dalam kereta.

"Selesai urusan mengeluarkan wang, mereka terus masuk ke dalam kereta, namun terkejut apabila tiba-tiba datang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi menghampiri kenderaan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian memecahkan cermin kereta dan melarikan beg berisi wang yang baru dikeluarkan oleh mangsa dari bank sebelum itu.

Katanya, mangsa yang terkejut tidak sempat melakukan apa-apa kerana kejadian itu berlaku amat pantas.

Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta BMW ke arah Jalan Persiaran Ikhlas, namun kenderaan mereka berjaya dipintas oleh kereta dinaiki sepasukan lima anggota polis.

"Lima anggota polis yang menaiki kereta Proton Waja sedang menjalankan tugas rondaan apabila secara kebetulan terserempak dengan kejadian jenayah itu.

"Mereka segera mengejar suspek sebelum berjaya memintas dan menghalang kereta penjenayah terbabit kira-kira 600 meter dari tempat mangsa disamun," katanya.

Menurut Abdul Aziz, suspek yang terperangkap cuba melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis tetapi dua daripada mereka berjaya ditangkap.

Beliau berkata, dua rakan suspek bagaimanapun sempat meloloskan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Abdul Aziz berkata, polis yang memeriksa kereta suspek menemui semula beg berisi wang yang dilarikan sebelum itu dan beberapa barang lain termasuk parang serta tukul besi yang digunakan untuk menyamun.

"Dua suspek dipercayai lelaki tempatan masing-masing berusia 17 dan 21 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mendapati kereta BMW digunakan suspek dalam kejadian itu adalah kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya sambil memberitahu kereta terbabit dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada tahun lalu.

Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek dan penglibatan mereka dalam kes-kes jenayah lain.

Tuesday, February 22, 2011

32 SMS telefon bimbit Beng Hock didedah

KUALA LUMPUR 22 Feb. 2011 - "SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sudah datang, mereka periksa komputer'' dan "Jangan cemas, sila bertenang. Jika perlukan apa-apa pertolongan, sila hubungi bila-bila masa.''

Itu adalah dua daripada 32 khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Cina yang diterjemahkan untuk pertama kali sejak ia ditemui dalam telefon bimbit milik Teoh Beng Hock pada 22 Julai, dua tahun lalu.

Terjemahan itu dibuat oleh seorang jurubahasa mahkamah selepas diarahkan oleh Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempengerusi suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor itu dalam prosiding hari ini.

Turut ditemui adalah dua SMS yang melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan Beng Hock yang berbunyi:

"Beng Hock, apa khabar. Tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan. Saya sangat takut dan terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tidak apa-apa. Baru senang hati. Harap awak tidak apa-apa - kak lan.''

"Awak sudah popular. Awak macam mana. Kami bimbang akan awak. Sudah keluar nanti, jangan lupa laporkan yang awak selamat.''

Selain itu, terdapat berapa SMS berupa makluman, petikan sajak termasuk jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2009.

Turut ditemui adalah satu SMS yang seolah-olah dihantar secara rambang berbunyi: "Nyawa Beng Hock telah menerangi dunia semua orang. Hantarlah dia. Kita perlu menjaga anaknya.''

Bagaimanapun, maklumat tentang siapa penghantar atau penerima, masa dan tarikh semua SMS tidak disebut secara terperinci.

Sementara itu, pegawai penyiasat daripada Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Cheras, Inspektor Mohd. Zaidi Abu Hassan semasa memberi keterangan berkata, terdapat beberapa SMS yang telah dibuka dan dibaca selepas kematian Beng Hock.

Hasil analisis ke atas telefon bimbit Beng Hock, beliau mendapati panggilan terakhir dibuat kepada ketuanya, Ean Yong Hian Wah pada pukul 6.15 petang, 15 Julai 2009, manakala panggilan terakhir diterima pada pukul 6.18 petang, hari yang sama.

Sementara panggilan tidak berjawab yang terakhir diterima daripada Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lee Kee Hiong pada pukul 5.19 petang, 15 Julai 2009.

"Hasil analisis saya, memang SMS tersebut tidak mengikut susunan. Bagaimanapun sistem dan peralatan yang saya guna tidak benarkan sebarang pengubahan data,'' katanya.

Turut memberi keterangan adalah ahli kimia dan pegawai sains dari Jabatan Kimia Malaysia, Zaraiha Awang dan Saiful Fazamil Mohd. Ali serta pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. K. Saravanan.

Terdahulu, Cheng Yuen memaklumkan pihaknya akan turut menghantar surat kepada syarikat telekomunikasi, Digi Telecomunications Sdn. Bhd. untuk mendapatkan rekod terperinci bagi penggunaan telefon bimbit Beng Hock termasuk SMS dan panggilan yang telah dipadamkan.

Katanya, penyiasat bebas yang akan membuat analisis juga akan dilantik dalam tempoh terdekat dan ia akan diumumkan sebaik sahaja pelantikan berkuatkuasa.

Berhubung pakar patologi dari Thailand dan United Kingdom, Dr. Pornthip Rojanasunand dan Prof. Dr. Peter Venezis, jelas beliau tiada sebarang maklum balas diterima walaupun surat rasmi telah dihantar.

Katanya, cubaan untuk menghubungi telefon bimbit Pornthip telah dilakukan namun tiada sebarang respons hingga hari ini.

Berikutan itu, suruhanjaya akan mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan Malaysia di Thailand bagi memastikan kehadiran pakar patologi itu.

Menurut Cheng Yuen, suruhanjaya akan mendapatkan khidmat pakar tulisan dari United Kingdom bagi menganalisis nota dan dokumen yang difikirkan perlu.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan semua pihak khususnya media agar tidak lagi merujuk tiga pegawai pengendali suruhanjaya itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara permohonan peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah agar pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dibenarkan untuk mengikuti prosiding serta membuat pemerhatian terhadap saksi-saksi akan diputuskan oleh suruhanjaya esok.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009, ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Mahkamah Koroner di Shah Alam pada 5 Januari lalu bagaimanapun memutuskan hasil inkues itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).

Prosiding yang diadakan di Mahkamah NCvC di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Monday, February 21, 2011

Tangan penarik kereta hampir putus ditetakFeb 21, 11 6:08pmKongsi 36Seorang penarik kereta hampir putus tangan kirinya selepas ditetak dengan sebilah

Tangan penarik kereta hampir putus ditetakFeb 21, 11 6:08pmKongsi 36Seorang penarik kereta hampir putus tangan kirinya selepas ditetak dengan sebilah pedang di Kampung Tok Jiring di Kuala Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata tangan mangsa ditetak pemilik sebuah kereta yang cuba ditarik dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang.

Beliau berkata dalam kejadian itu, penarik kereta yang berusia 48 tahun bersama empat lagi rakannya pergi ke rumah seorang pemilik kenderaan yang gagal membayar ansuran selama lima bulan.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat rakan mangsa, penarik kereta itu bersama seorang lagi rakannya menyerahkan surat kebenaran daripada pihak bank untuk menarik kereta tersebut kepada suspek.

"Namun sebaik sahaja membaca surat itu, suspek masuk ke dalam rumah sebelum keluar semula dengan membawa sebilah pedang dan terus menetak mangsa," katanya kepada pemberita hari ini.

Manoharan berkata mangsa yang cedera parah di tangan kirinya itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk menyabung bahagian tangan yang hampir putus itu.

Katanya suspek berusia 42 tahun yang berasal dari Besut telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 malam semalam membuat laporan dia diserang oleh penarik kereta tersebut.

Lelaki itu kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

- Bernama

Peragut maut rempuh kereta

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2011/02/22


ANGGOTA polis memeriksa mayat salah seorang suspek kes ragut yang terbunuh selepas merempuh kereta mangsa di Ampang Jaya, semalam.Rakan suspek parah tercampak ke longkang selepas bertembung mangsa

AMPANG JAYA: Walaupun kesakitan dan terjatuh ditendang dua peragut bermotosikal yang melarikan beg tangannya, seorang arkitek wanita nekad bangun dan mengejar mereka sebelum bertembung semula di satu persimpangan menyebabkan salah seorang peragut mati, manakala rakannya cedera parah, pagi semalam. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 200 meter dari rumah mangsa di Taman Mega Jaya di sini, jam 8.40 pagi, kedua-dua penjenayah warga Indonesia terjatuh ke dalam longkang selepas motosikal dinaiki mereka merempuh kereta mangsa. Penunggang motosikal berusia 34 tahun itu mati di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 25 tahun cedera parah di kepala.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa berusia 28 tahun yang menggunakan kereta Toyota Vios keluar rumah dan meninggalkan kereta di hadapan kediamannya untuk menutup pagar apabila beg tangannya yang ditinggalkan di tempat duduk hadapan kereta cuba dilarikan dua suspek menaiki sebuah motosikal.

Mangsa yang melihat kejadian itu terus menerkam ke arah peragut dan cuba merampas beg tangannya apabila dia ditendang di perut hingga terjatuh sebelum bangun semula dan mengejar mereka dengan keretanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata apabila tiba di Jalan Mega berhampiran simpang ke Jalan Mega 7, mangsa memberhentikan kereta Toyota Vios dipandunya sebaik terserempak dengan suspek yang datang dari arah menuruni bukit.
“Suspek yang panik gagal mengawal motosikal lalu merempuh kereta mangsa, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam longkang dengan penunggang mati di tempat kejadian, manakala rakannya yang membonceng, cedera parah di kepala.

“Suspek yang cedera kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang. Mangsa tidak cedera namun trauma,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Amiruddin berkata, pemeriksaan mendapati suspek menggunakan motosikal curi, namun tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian dan siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai rekod jenayah.

Katanya, polis akan mengambil keterangan wanita itu bagi membantu siasatan.

Sindiket judi RM13 juta tumpas

BENTONG 21 Feb. 2011 - Polis Pahang menumpaskan satu sindiket perjudian dan pertaruhan haram bernilai kira-kira RM13 juta apabila menahan enam lelaki dan lima wanita dalam serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di daerah ini, semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam 'Ops Dadu' yang dijalankan pada pukul 6.30 petang di sekitar Bentong, Karak dan Manchis di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, operasi diketuai Pegawai Turus Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) negeri, Deputi Supritendan Zailani Amir bersama tiga pegawai dan 12 anggota.

"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa jenis peralatan termasuk set komputer, telefon talian tetap, telefon bimbit, mesin pencetak dan ratusan helaian kertas yang tercatat angka-angka dipercayai nombor ekor.

"Ketika diserbu, kesemua suspek sedang menjalankan urus niaga dan kita turut merampas wang tunai berjumlah RM25,000 hasil kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman.

Menurut Sharifuddin, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi hampir tiga minggu lalu dengan jumlah pertaruhan mencecah hampir RM13 juta sebulan.

Menurutnya, operasi sindiket dijalankan secara dalam talian dan panggilan telefon.

"Siasatan yang dijalankan juga mendapati, ada antara suspek yang memiliki rekod kesalahan lampau.

"Sindiket itu juga dipercayai menjalankan operasi di Pahang dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian operasi sindiket itu," katanya.

Menyamar polis curi kenderaan

KUALA LUMPUR 21 Feb. 2011 - Satu sindiket curi kereta yang dikesan berlaku di tiga negeri termasuk ibu negara sanggup menyamar sebagai anggota polis atau kastam dan melakukan sekatan jalan raya.

Kumpulan ini juga turut dikesan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pasukan penguat kuasa sebelum melarikan kenderaan kononnya atas alasan kereta itu terlibat dalam jenayah.

Bagaimanapun, taktik licik kumpulan itu yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang itu sejak dua tahun lalu tumpas apabila polis menahan 15 ahli kumpulan tersebut dalam beberapa serbuan baru-baru ini.

Kesemuanya termasuk sepasang suami isteri yang berusia antara 21 tahun dan 24 tahun ditahan berasingan di sekitar Cheras, Seremban dan Tanjung Malim dalam tempoh dua bulan operasi.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diwujudkan pada 13 Januari lalu bagi menyiasat dan memburu kumpulan penjenayah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis turut merampas dua kelopak peluru, sepucuk pistol semi automatik, sepucuk pistol angin, 50 gram dadah syabu dan 500 gram ketamin.

"Empat kereta jenis Honda Civic, Proton Wira, Proton Waja dan Peugeot yang dilaporkan hilang sekitar Lembah Klang, ditemui bersama suspek-suspek berkenaan. Kita percaya mereka terlibat dalam puluhan kes curi kenderaan namun jumlahnya sedang disiasat.

"Polis turut merampas peralatan menyamar termasuk uniform polis, pas kerja polis dan pas kerja kastam," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, modus operandi sindiket tersebut ialah membuat sekatan jalan raya atau pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis atau kastam sebelum melarikan kereta-kereta mangsa.

Polis tumpaskan sindiket judi haram, 11 ditahan

21/02/2011 5:04pm



Oleh ALI MAHMOOD

BENTONG 21 Feb. – Polis Pahang menumpaskan satu sindiket perjudian dan pertaruhan haram bernilai kira-kira RM13 juta apabila menahan enam lelaki dan lima wanita dalam serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di daerah ini semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam `Ops Dadu’ yang dijalankan pada pukul 6.30 petang di sekitar Bentong, Karak dan Manchis di sini. – Utusan

Dua wanita Iran ditahan, syabu bernilai RM1.55 juta dirampas

21/02/2011 4:40pm


PULAU PINANG 21 Feb. – Polis berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.55 juta selepas menahan dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Kedua-dua wanita itu yang berusia 21 dan 24 tahun baru tiba di negeri ini dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu selepas transit di Singapura pada pukul 8.10 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob berkata, polis menemui dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram disimpan dalam dua bungkusan plastik lutsinar yang disembunyikan dalam dua bagasi pakaian mereka. – Utusan

Thursday, February 17, 2011

2 beradik bunuh abang tiri dipenjara tujuh tahun

2 beradik bunuh abang tiri dipenjara tujuh tahun


2011/02/18


MOHD Hairul Faiza (kiri) dan Mohd Hairul Anuar dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.KUALA TERENGGANU: Dua beradik dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat abang tiri mereka di Felda Kertih 5, Ketengah Jaya, Dungun pada Oktober 2007.

Tertuduh, Mohd Hairul Faiza Yahaya, 30, dan adik Mohd Hairul Anuar Yahaya, 27, didapati bersalah membunuh tanpa niat Mohd Nazly Yahaya kira-kira jam 11.30 malam pada 4 Oktober 2007 di rumah mereka di Felda Kertih 5. Mohd Hairul Faiza yang berkemeja putih dan adiknya berkemeja biru kelihatan tenang ketika Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu di hadapan ahli keluarga tertuduh yang memenuhi Galeri Awam. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman berikutan tertuduh mahu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk meringankan hukuman.

Azman kemudian membenarkan permohonan untuk meringankan hukuman itu berikutan ia kesalahan pertama tertuduh dan ia membabitkan kes adik beradik. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.

Mengikut fakta pertuduhan, dua beradik itu dituduh menyebabkan kematian Mohd Nazly dengan niat mendatangkan kecederaan pada tubuh badan yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574 dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun sama) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara.

Kakitangan stesen TV mati ditekup bantal

Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/02/18
Mayat mangsa ditemui terikat di dalam bilik tidur

KUALA LUMPUR: Pegawai promosi sebuah stesen televisyen swasta ditemui mati dipercayai lemas akibat ditekup dengan bantal di rumah sewanya di sebuah flet di Jalan Api, Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, lewat malam kelmarin. Mayat mangsa ditemui jam 12 tengah malam dalam keadaan hanya memakai seluar dalam dan tertiarap di bilik tidurnya, manakala tangan, kaki dan lehernya diikat dengan wayar telefon. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Khalid, berkata rakan mangsa yang pulang selepas kerja jam 12 tengah malam terkejut apabila pintu jeriji rumah dan televisyen terbuka, namun tiada sesiapa yang menontonnya.

Wan Abdul Bari bagaimanapun mengesahkan tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh orang dikenalinya berdasarkan keadaan rumah itu.

Katanya, pasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas dimaklumkan oleh rakan serumah mangsa mendapati mangsa mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

“Kita juga percaya terdapat lebih daripada seorang suspek yang melakukan pembunuhan itu berdasarkan pada keadaan mangsa yang ditemui diikat, agak sukar untuk seorang melakukannya,” katanya.
Sehingga kini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Selain itu, polis juga sedang meneliti satu laporan polis yang pernah dibuat mangsa bulan lalu kerana diugut supaya mengahwini seorang wanita.

Wan Abdul Bari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Saksi yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta menghubungi Rakan Cops Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Lagi warga Iran ditahan, syabu RM875,000 dirampas

R. MARIAPPA (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 17 Feb. - Walaupun pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah ke negara ini berjaya ditumpaskan pihak berkuasa, penyeludup khususnya dari Iran tidak pernah serik.

Terbaru cubaan seorang warganegara itu menyeludup 3.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM875,000 di satu ruang khas bagasi miliknya berjaya dipatahkan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pukul 3.15 petang.

Ia kes ketiga membabitkan penyeludupan dadah oleh warga asing di lapangan terbang tersebut dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, R. Mariappa berkata, pegawai UKPP mendapati terdapat imej meragukan ketika imbasan terhadap bagasi suspek sebelum bertindak membuat pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan itu, kita menemui lima bungkusan kertas karbon berwarna biru disaluti plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki syabu," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai ke Singapura sebelum tiba di negeri ini semalam, kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Mariappa memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

"Mengikut rekod kita, suspek kali pertama datang ke negara ini dan dia datang bersendirian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan seorang wanita Uganda yang turut ditahan di lapangan terbang itu 11 Februari lalu atas kesalahan yang sama.

Tambah beliau, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan dadah atau bahan lain seperti rokok, minuman keras atau mercun melalui talian bebas tol 1-800-88-8855

Polis tahan 3 lelaki bantu siasatan kes curi kondom RM4.5 juta

2011/02/17
IPOH: Polis menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 30 tahun yang dipercayai anggota sindiket antarabangsa bagi membantu siasatan kes kecurian lebih 700,000 kondom bernilai kira-kira RM4.5 juta dari sebuah kontena ke Tokyo, Jepun, bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, berkata tiga lelaki itu yang juga pekerja kilang kondom di Batu Gajah, kira-kira 20 kilometer dari sini, ditahan di tiga lokasi iaitu di Ipoh, Klang dan sebuah lebuh raya semalam. Katanya, ketiga-tiga suspek itu direman sehingga Sabtu dan hasil maklumat yang diperolehi, polis yakin dapat menahan beberapa lagi suspek dalam tempoh terdekat. "Kita mengesyaki kegiatan itu dijalankan beberapa individu lain dan mereka terdiri daripada sebahagian kumpulan sindiket besar yang dipercayai turut membabitkan rangkaian luar negara," katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.

Kondom itu yang dihantar menerusi kontena dari Pelabuhan Klang ke Tokyo pada 6 Januari lalu didapati hilang setibanya di Tokyo pada 25 Januari lalu.

Wednesday, February 16, 2011

Wanita Uganda ditahan bersama syabu bernilai RM750,000

BUKIT MERTAJAM 16 Feb. 2011 - Selepas seorang lelaki warga Iran ditahan kerana menyorokkan dadah dalam ruang khas beg bulan lalu, sekali lagi taktik sama digunakan untuk menyeludup dadah ke negeri ini.

Ia dikesan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri setelah menahan seorang wanita warganegara Uganda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, 11 Februari lalu.

Suspek yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan pukul 2.45 petang selepas bagasi miliknya yang diimbas mengandungi imej meragukan.

Menurut Timbalan Pengarah Kastam negeri (Bahagian Penguatkuasaan), R. Mariappa, bagasi itu kemudian diperiksa dengan rapi oleh pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Narkotik sebelum berjaya menemui satu ruang khas di dalamnya.

"Di dalam ruang tersebut ditemui dua bungkusan aluminium mengandungi kristal yang disyaki syabu seberat tiga kilogram dipercayai untuk diedarkan di negeri ini.

"Anggaran nilai pasaran ketulan kristal itu adalah RM750,000 dan berdasarkan rekod wanita berkenaan pertama kali masuk ke Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mariappa, wanita yang bekerja sebagai tukang masak berusia 30-an itu dipercayai menaiki penerbangan dari Hong Kong dan transit di Kuala Lumpur sebelum datang ke Pulau Pinang.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kita masih menyiasat pasaran dadah itu," ujarnya.

Pada 9 Januari lalu, seorang lelaki warganegara Iran ditahan selepas menyorokkan 3.5 kilogram dadah jenis syabu di dalam ruang khas pada beg galas miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Remaja ditembak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

TUMPAT 16 Feb. – Seorang remaja parah setelah terkena dua das tembakan ketika cuba menyerang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang dikatakan membelasah bapa saudaranya sehingga mati.

Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ini apabila remaja itu datang ke Hospital Tumpat (HT) di sini, bersama sekumpulan rakannya lalu bertindak menyerang empat anggota UPP yang berpakaian preman di sebuah kedai makan.

Berikutan itu berlaku pergelutan dan bagi mempertahankan diri, anggota tersebut telah melepaskan dua das tembakan yang mengenai remaja tersebut, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, empat anggota itu telah menahan sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tin dekat sini hari ini.

Katanya, penahanan pukul 7.45 pagi itu dibuat setelah anggota-anggota terbabit mengesyaki kenderaan berkenaan membawa barangan seludup.

Tambahnya, kereta itu dipandu Said Mat Hassan, 56, yang merupakan bapa saudara Ahmad Nizamuddin.

“Menyedari dia diekori, Said melarikan diri dan ketika mengejar berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan 4WD (kenderaan pacuan empat roda) UPP mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja ditahan, anggota itu melihat mulut Said berbuih dan mukanya dalam keadaan pucat lalu dia dibawa ke HT untuk rawatan. Namun dia meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Sejurus dibawa masuk untuk pemeriksaan, anggota-anggota itu keluar dan minum di kedai di hadapan hospital sementara pemeriksaan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pada masa sama, lima buah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki datang ke kedai berkenaan dan terus menyerang anggota tersebut.

Katanya, tiga daripada anggota itu berjaya meloloskan diri.

“Seorang lagi iaitu anggota dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang ditugaskan di bawah UPP terus dibelasah dengan cota dan sebagainya.

“Ekoran itu, anggota tersebut cedera di kepala dan bagi mempertahankan diri, dia melepaskan dua das tembakan dan mengenai Ahmad Nizamuddin di perut dan dada kanan,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit kemudian dibawa ke HT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil tersebut menemui 20 kampit beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Menurut Abdul Rahim, anggota UPP tersebut turut mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

Tuesday, February 15, 2011

Tiga lelaki terbabit edar dadah kena tahan

2011/02/16
KAJANG: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas sepucuk pistol jenis browning yang disorokkan di atas siling sebuah bilik hotel di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang turut menemui peralatan menghisap dadah dalam bilik yang disewa oleh tiga lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketika ditahan, salah seorang suspek berada dalam keadaan ‘lalok’ dipercayai akibat pengambilan dadah. Beliau berkata, siasatan turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai tujuh rekod jenayah, termasuk berkaitan dadah, manakala seorang lagi suspek didapati positif dadah jenis methampetamine.

“Kita masih menjalankan siasatan mengenai pembabitan kedua-dua suspek berkenaan dalam pengedaran dadah dan penemuan pistol terbabit serta sama ada ia digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971

Wanita dibelasah suami guna kayu hoki buat aduan polis

2011/02/16


MANGSA menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Kota Bharu, semalam.KOTA BHARU: Seorang isteri ahli perniagaan di bandar ini mendakwa beliau bukan saja dipukul, tetapi diugut akan dibelasah dengan kayu hoki jika enggan mengikut arahan suaminya.

Mangsa berusia 30 tahun dan enggan namanya disiarkan mendakwa suaminya yang panas baran serta kaki perempuan, memaksanya menulis surat penyerahan hak penjagaan tiga anak serta tidak menuntut sebarang harta sepanjang tempoh perkahwinan mereka, sejak 10 tahun lalu. Menceritakan kejadian berkenaan, wanita berkenaan mendakwa dirinya dilayan seperti anjing apabila suaminya bertindak menghalaunya sesuka hati apabila mereka bergaduh. “Kami pernah bercerai sebelum ini, tetapi kemudiannya rujuk semula, bagaimanapun selepas lama bersabar dengan kerenahnya, saya menjadi tawar hati, sekarang ini kami dalam proses perceraian sekali lagi.

“Pergaduhan terbaru berlaku malam tadi (malam kelmarin) apabila dia memarahi saya selepas bertanya ke mana nak pergi ketika anak tidak sihat. Selepas itu, dia bertindak kasar termasuk sepak dan pukul saya di kepala dan badan, tidak tahan dengan keadaan itu, saya terpaksa melawan.

“Ketika bergaduh, dia mengambil kayu hoki dan mengugut mencederakan saya, dia memaksa saya menulis surat tidak akan menuntut hak penjagaan tiga anak dan menuntut sebarang hartanya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Wanita berkenaan turut menunjukkan kesan kecederaan dialaminya di kepala dan lengannya akibat dipukul suaminya dalam kejadian malam kelmarin.
Selain itu, wanita berkenaan mengakui pergaduhan antara mereka kerap berlaku disebabkan perangai suaminya yang suka mengungkit.

Dakwanya, beliau pernah mengupah penyiasat persendirian untuk menyiasat hubungan sulit suaminya bersama beberapa wanita lain.

“Banyak wang saya habis mengupah mereka, dan daripada maklumat itu (daripada penyiasat) saya dapat tahu dia mempunyai hubungan sulit dan pernah ditangkap basah (khalwat),” katanya.

Taktik cari keldai dadah ditukar

Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/02/16
Sindiket antarabangsa guna warga tempatan jadi ejen perangkap mangsa

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini dikesan menukar taktik dengan merekrut warga tempatan sebagai ejen untuk mencari 'keldai dadah' bagi menyeludup dadah ke dalam atau luar negara. Taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar. Hasil soal siasat polis negara itu, suspek mendedahkan tiga warga Malaysia memperdaya dia untuk pergi ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini.

Duta Malaysia ke Argentina, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata remaja berasal dari Sungai Cincin, Gombak, kini ditahan di sebuah penjara di Buenos Aires sejak 31 Januari lalu di bawah perintah tahanan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

“Kita mendapati remaja itu dijanjikan upah sebanyak RM7,000 oleh tiga lelaki terbabit sekiranya berjaya membawa balik bungkusan yang kononnya berisi batu permata hitam.

“Ketika ditahan, suspek sedang menunggu untuk menaiki pesawat Qatar Airlines ke Qatar. Dia ditahan sejurus pemeriksaan mendapati bagasi pakaian yang dibawanya mengandungi kokain namun kita tidak pasti beratnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Zulkifli berkata, apabila disoal siasat wakil kedutaan bersama peguam belanya, suspek mendakwa tidak mengetahui bagasi dibawanya mengandungi dadah.

“Selepas media mendedahkan mengenai kegiatan merekrut rakyat Malaysia untuk menjadi ‘keldai dadah’ oleh warga Afrika, kini sindiket pengedaran dadah didapati mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan orang tempatan pula.

“Ini bagi memudahkan mereka memperdaya mana-mana individu yang terdesak untuk mencari kerja atau wang lebih bagi menyeludup dadah,” katanya.

Zulkifli berkata, sejak beberapa bulan lalu, lima lelaki rakyat Malaysia ditahan di Argentina kerana cuba menyeludup kokain.

Pendedahan taktik terbaru berkenaan diperkukuhkan dengan penahanan seorang wanita Malaysia bernama Aida bersama lima lelaki Nigeria di Kuala Lumpur, pada 2 Februari lalu, kerana dikatakan merekrut rakyat tempatan bagi menjadi keldai dadah

Polis teliti kes wanita mati dicabut kuku

2011/02/16
ALOR SETAR: Polis masih menunggu laporan jabatan kimia berhubung kes seorang wanita yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga, mati dengan kesan lebam seluruh badan selain beberapa batang gigi dan kuku jarinya dicabut di Padang Serai, Kedah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata polis akan meneliti semula kes itu berdasarkan laporan kimia dan akan membuka siasatan jika ada bukti berlaku penderaan hingga menyebabkan kematiannya seperti didakwa keluarga mangsa. Katanya, keputusan bedah siasat tidak dapat menentukan punca kematian S Takiam, 23. “Walaupun kes itu kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kita tidak menolak kemungkinan menukar seksyen siasatan jika ada bukti baru,” katanya di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, seorang bapa hanya mampu meratap sedih melihat anak perempuannya yang tidak bernyawa dengan kesan lebam, selain beberapa gigi dan kuku kakinya tercabut.

2 beradik mati minum susu beracun

2 beradik mati minum susu beracun

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Hancur luluh hati seorang bapa apabila melihat sendiri dua anak perempuannya, Rashme Sivarajah dan Neeharika Laxmi berusia empat dan satu tahun mati akibat diberi minum susu beracun di rumahnya di Bandar Baru Bangi, dekat sini malam semalam.

Lebih menyedihkan susu berkenaan diberi oleh isterinya sendiri yang disyaki mengalami sakit mental.

Dalam kejadian pukul 8.17 malam itu, wanita berkenaan, M. Viyhasini, 30, turut kritikal setelah dia juga meminum racun sebaik sahaja membunuh kedua-dua anaknya di dalam sebuah bilik tidur di rumahnya.

Kejadian menyayat hati itu disedari oleh ibu mertua Viyhasini yang mengesyaki sesuatu buruk berlaku apabila menantu dan dua cucunya tidak keluar dari bilik.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob, wanita itu kemudian menghubungi anaknya, Sivarajah, 33, yang merupakan pengusaha kedai gunting rambut.

"Lelaki itu bergegas pulang dan membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua dan mendapati isteri dan anaknya tidak sedarkan diri di atas lantai serta mulut berbuih.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar An-Nur tetapi kedua-dua kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia.

"Isterinya yang dihantar ke Hospital Serdang pula dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati ibu mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan psikiatri dan sakit mental.

"Wanita itu pernah cuba untuk membunuh diri pada 2006," tambahnya.

Monday, February 14, 2011

Sentral: Bawa budak elak kena cekup

Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/02/15


PENGUAT KUASA menahan pasangan yang membawa kanak-kanak dalam operasi antizina di hotel bajet di Dengkil. Lima pasangan ditahan dalam operasi antizina di hotel bajet

SEPANG: Lima pasangan beragama Islam ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sepang dalam operasi antizina di beberapa hotel bajet sekitar pekan Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi di sini, ketika meraikan hari kekasih, malam kelmarin. Operasi yang dijalankan secara bersepadu Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu bermula pada jam 2 pagi pada awalnya menahan dua pasangan yang sedang tidur di hotel murah di pekan Dengkil. Pasangan kekasih yang ditahan itu adalah duda berumur 27 tahun dari Dengkil bersama seorang wanita berusia 21 tahun dari Kajang dikatakan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa kanak-kanak lelaki sebagai modal melindungi perbuatan mereka.

Ketika serbuan, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu tidur bersama pasangan berkenaan.

Pegawai Penguat Kuasa PAID Sepang, Alfian Ahmad, berkata ketika serbuan, lelaki terbabit didapati berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita itu pula berpakaian lengkap.

Lelaki berkenaan turut mempunyai seorang anak lain dan mendakwa akan berkahwin dengan wanita terbabit pada Jun depan.
Pasangan berkenaan ditahan kerana berdua-duaan dalam bilik hotel berkenaan sehingga menimbulkan syak.

Sementara itu, di hotel berasingan, seorang janda berusia 48 tahun ditangkap berkhalwat bersama pasangannya yang juga suami orang berusia 52 tahun.

Pemeriksaan mendapati kedua-duanya berasal dari Sarawak dan menetap di Johor untuk datang bermalam di hotel itu atas alasan menghadiri mesyuarat di Putrajaya.

Ketika serbuan, pintu bilik itu dibuka oleh wanita terbabit yang memakai baju tidur, manakala pasangannya baring di atas katil dengan berselimut dengan hanya berseluar.

Di Bandar Baru Salak Tinggi pula, tiga pasangan bukan muhrim dicekup di sebuah hotel yang mana dua pasangan adalah pekerja kontrak pembersih kapal terbang dan satu lagi pasangan yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi untuk diambil keterangan sebelum dijamin rakan atau pihak tertentu.

Mereka boleh didakwa mengikut seksyen 29(1) (A&B) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 2 tahun.

Alfian berkata, operasi antizina yang dijalankan itu bertujuan mengurangkan gejala sosial di Selangor.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu turut disertai penguat kuasa MPSepang.

Lima hotel diperiksa iaitu tiga di Dengkil dan masing-masing sebuah di Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi.

Sunday, February 13, 2011

2 kumpulan gengster bergaduh, 4 cedera

KLANG 13 Feb. 2011 - Empat cedera parah termasuk seorang ditembak dalam pergaduhan bersenjata membabitkan dua kumpulan gangster di Jalan Datuk Manan, Kapar di sini, awal pagi ini.

Dalam pergaduhan melibatkan lebih 20 lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang dipercayai kerana dendam itu, dua buah kereta Proton Waja dan Proton Perdana milik anggota kedua-dua kumpulan terbabit musnah terbakar.

Polis yang tiba di tempat kejadian menemui senjata tajam seperti parang dan besi dipercayai digunakan semasa pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, semasa anggotanya tiba di lokasi pergaduhan, empat lelaki yang cedera parah terbaring di atas jalan raya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sekitar tempat kejadian menemui beberapa batang besi dan parang.

"Kita telah menghantar kesemua lelaki yang cedera ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dirawat dan ditahan untuk siasatan.

"Hasil soal siasat terhadap mereka, kita berjaya menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu kesemua anggota kumpulan gengster terlibat.

Katanya, pihaknya menyiasat kes tersebut daripada pelbagai sudut termasuk kerana dendam dan wanita.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 148 akta yang sama kerana memiliki senjata berbahaya," ujarnya

Lelaki Bangladesh ditemui mati

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

NIBONG TEBAL 13 Feb. – Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan berulat di dalam rumah sewanya di tingkat tiga sebuah rumah pangsa di Taman Sungai Bakap Permai di sini hari ini.

Lelaki warga Bangladesh berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan mulutnya tertutup, pukul 1.20 petang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat tentang bau busuk di rumah itu daripada orang awam.

Menurutnya, polis yang datang kemudian menjumpai mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di rumah itu.

“Hasil siasatan, polis menjumpai sebentuk cincin berhampiran mayat mangsa selain sebuah motosikal Yamaha Lagenda beserta sehelai jaket di bawah rumah pangsa itu dipercayai milik mangsa.

“Polis juga percaya penemuan mayat lelaki itu ada kaitan dengan satu laporan penculikan yang dibuat pada 8 Februari lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Nasir, satu laporan kehilangan mangsa dibuat majikannya di Balai Polis Bukit Tambun selepas mangsa tidak datang bekerja di sebuah kilang di Bukit Tambun.

“Rumah itu disewa oleh beberapa lelaki Bangladesh dan operasi mengesan mereka masih dijalankan oleh pihak polis.

“Identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti dan polis akan membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat mangsa,” ujarnya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik serta Seksyen 302 kanun yang sama kerana membunuh.

“Mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat,” ujar beliau.

Dadah: 5 sekeluarga ditahan

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my



Ibrahim Mohd. Yusoff (tengah) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan heroin yang dirampas di Jitra, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUBANG PASU 13 Feb. - Biarpun baru enam bulan keluar penjara atas kesalahan dadah, seorang penganggur tidak serik-serik apabila sekali lagi ditahan polis kerana mengedar dadah kelmarin.

Suspek berusia 52 tahun tersebut ditahan pukul 10.30 pagi di rumahnya di Kampung Naga Jitra dekat sini bersama heroin seberat 514.6 gram.

Polis juga menahan anak saudaranya iaitu lelaki berusia 35 tahun kerana dipercayai terbabit sama berdasarkan enam rekod jenayah dadah.

Isteri suspek berusia 54 tahun dan dua anaknya termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang berada di rumah tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff, suspek utama ditahan bersama anak saudaranya di bilik atas rumah terbabit.

Katanya, pemeriksaan mendapati bilik itu dijadikan tempat melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah tersebut.

"Ketika serbuan suspek dan anak saudaranya di tingkat atas rumah tersebut manakala isteri serta dua anaknya di bawah.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebungkus heroin seberat 460 gram bersama lima peket kecil seberat 54.6 gram.

"Turut ditemui di dalam bilik itu bungkusan plastik dan alat untuk membungkus dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, polis percaya suspek yang mempunyai enam rekod jenayah kesalahan sama, kembali aktif sebagai pengedar sejak beberapa bulan lalu di sekitar bandar ini dan Alor Setar.

"Suspek utama dan anak saudaranya dipercayai baru saja mendapat bekalan dadah dari sebuah negeri di utara dan cuba mengedarnya di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, suspek dibebaskan dari Penjara Pokok Sena di Alor Setar pada Ogos tahun lalu atas kesalahan dadah setelah dihukum empat tahun penjara dan dua sebatan.

Katanya, kesemuanya ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Thursday, February 10, 2011

Mati sebelum sempat sarapan kena belasah penyamun

2011/02/11
IPOH: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah oleh anaknya yang pulang menghantar sarapan pagi di rumah mereka di Taman Pertama, Jalan Silibin, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mayat, J Surojini, 73, ditemui dalam keadaan tersembam dan kesan luka di muka serta kepala, dipercayai dipukul dengan objek keras pada kira-kira jam 11.15 pagi. Katanya, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes samun berikutan keadaan rumah itu yang berselerak dan ada kesan seperti diselongkar. Beliau berkata, siasatan juga mendapati beberapa barang berharga milik keluarga mangsa hilang.

“Kita percaya mangsa dipukul suspek dengan benda keras hingga menyebabkan kematiannya. Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu, termasuk menjejaki suspek," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Azisman berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di 05-2451500.

Sementara itu, anak mangsa, V Ganesan, 50, berkata dia menyedari kejadian itu ketika menghantar sarapan pagi dan barang keperluan dapur untuk ibunya.
“Ketika tiba di rumah, saya lihat pintu pagar dan rumah terbuka. Melihat keadaan itu, saya bergegas masuk ke dalam untuk memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

“Sejurus selepas masuk, saya terkejut apabila melihat keadaan ibu yang sudah kaku serta berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah wang tunai serta barang berharga milik keluarganya dipercayai dilarikan penjenayah terbabit.

Peniaga kantin edar kanabis

Oleh ROKIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 10 Feb. – Seorang peniaga kantin sekolah dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 4,420 gram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrizal Abdul Ghani, 37, setelah mendapati pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

‘‘Selepas menimbangkan dan mengambil kira keterangan semua saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes terhadap kamu, Shahrizal tanpa sebarang keraguan.

‘‘Oleh itu tiada hukuman lain yang boleh saya berikan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,’’ kata Nurmala dalam penghakiman lisannya kira-kira pukul 9 pagi.

Shahrizal yang memakai kemeja-T warna putih dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepala ketika hukuman itu dijatuhkan manakala dua wanita dipercayai ibu dan adiknya terus menangis.

Kedua-dua mereka juga telah bertindak menutup muka Shahrizal menggunakan beg tangan yang dibawa bagi menghalang jurugambar daripada merakamkan gambar tertuduh di luar mahkamah.

Wanita terbabit turut menunjukkan isyarat tangan meminta gambar tertuduh tidak diambil.

Mengikut pertuduhan, Shahrizal dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 4,420 gram kira-kira pukul 10 malam, 14 Mac 2009 di Restoran Nasi Kandar Pelita di Juru Autocity, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kes itu, pihak pendakwaan telah memanggil 10 saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Laporan palsu sorok bayi luar nikah

IBRAHIM Mohd. Aris menunjukkan gambar bayi yang didakwa kononnya ditinggalkan di tepi jalan di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BATU PAHAT 10 Feb. - Demi menyembunyikan kelahiran luar nikah seorang bayi lelaki hasil hubungan dengan tunangnya, seorang pemuda sanggup membuat laporan palsu kononnya dia menemui bayi tersebut di tepi jalan.

Meskipun tindakan itu lebih baik daripada membuang bayi, ia tetap salah dan suspek bersama tunangnya berdepan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, suspek berusia 23 tahun dan bekerja di sebuah kilang membuat laporan palsu itu pada pukul 9.15 malam tadi.

"Dalam laporan itu, dia mendakwa kononnya menemui bayi tersebut di tepi jalan ketika pulang dari tempat kerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini.

"Suspek kemudiannya mendakwa membawa bayi lelaki itu pulang ke rumah kerana kasihan melihat bayi tersebut yang kesejukan dan ditinggalkan dalam bakul sebelum membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ibrahim berkata, polis yang menyiasat kejadian itu akhirnya mendapati bayi tersebut adalah anak suspek dan tunangnya yang juga rakan sekerjanya.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut juga mendapati, tunang suspek berusia 22 tahun yang berasal dari Melaka melahirkan bayi lelaki itu secara normal di sebuah hospital swasta di daerah ini sehari sebelum laporan polis dibuat.

"Pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Mereka dipercayai membuat laporan palsu bagi menutup kelakuan sumbang sehingga melahirkan anak, namun tindakan mereka membuat laporan palsu itu tetap salah," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Penguat Kuasa Agama Daerah, Mohd. Anuar Kosnin berkata, kes membabitkan pasangan itu belum dirujuk kepada pihaknya dan beliau akan mengambil tindakan sewajarnya sebaik sahaja menerima laporan.

Beliau memberitahu, kes itu boleh disiasat mengikut Seksyen 23 (1) untuk lelaki dan Seksyen 23 (2) bagi perempuan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melahirkan bayi luar nikah.

Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau ketiga-tiganya sekali," katanya lagi.

Tiga ditahan ISA disyaki ketua sindiket

PUTRAJAYA 10 Feb. 2011 - Tiga individu termasuk seorang warga Indonesia dipercayai ketua sindiket jenayah merentasi sempadan termasuk penyeludupan manusia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penahanan melibatkan seorang wanita itu rentetan penahanan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen di bawah ISA pada 10 hingga 12 Oktober tahun lalu.

Katanya, tiga individu berusia antara 33 hingga 48 tahun itu berjaya ditahan di sekitar Kuala Lumpur hasil maklumat diperoleh daripada kakitangan Jabatan Imigresen yang disiasat.

''Sebelum ini kita hanya memberi tumpuan kepada pegawai imigresen sahaja tetapi hari ini kita turut membuat penahanan ke atas ketua-ketua sindiket.

''Ini sekali gus memberi notis kepada semua pihak bahawa tidak ada sesiapa pun terkecuali dalam tindakan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Penasihat kepada Perdana Menteri Kanada mengenai penyeludupan manusia, Ward Elcock bagi membincangkan isu jenayah merentasi sempadan di pejabatnya.

Hishammuddin berkata, sembilan pegawai imigresen yang masih ditahan akan dibebaskan secara bersyarat atau bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat setelah berpuas hati dengan siasatan terhadap mereka.

''ISA bukan digunakan sewenang-wenangnya tetapi ia satu kaedah untuk mengumpulkan maklumat dan memastikan tindakan-tindakan lain dapat diambil khususnya kepada pihak ketiga seperti ketua sindiket tadi

Tuesday, February 8, 2011

Polis Johor tumpaskan Geng Alip

08/02/2011 3:01pm



Oleh Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

JOHOR BAHRU 8 Feb. – Kumpulan penjenayah `Geng Alip’ yang dipercayai terlibat dalam 21 kes samun di sekitar bandar raya ini lumpuh dengan tertangkapnya enam ahlinya di Skudai Kiri, di sini, semalam.

Kesemua suspek yang merupakan rakyat tempatan berusia antara 19 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah oleh sepasukan polis pada pukul 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, Geng Alip dikatakan aktif terbabit dalam jenayah samun di sekitar bandar raya ini sejak tiga bulan lalu. – Utusan

Monday, February 7, 2011

Polis rampas wang tunai kira-kira RM2 juta disyaki digunakan biayai dadah

2011/02/08
KUALA LUMPUR: Polis berjaya merampas wang tunai hampir RM2 juta yang dipercayai digunakan bagi membiayai sindiket pengedaran dadah dan menahan 10 warga tempatan dan lima rakyat Nigeria dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata kesemua mereka, termasuk tiga wanita tempatan, yang berumur antara 24 dan 39 tahun dari tiga sindiket berbeza yang aktif menjalankan pengedaran dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil eramin 5 di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki dan seorang perempuan
masing-masing berumur 31 dan 29 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Cheras di
sini 3 Februari lalu.

"Pada mulanya sepasukan polis dari Balai Polis Cheras melihat kedua-dua
suspek dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry berhampiran kawasan perumahan itu kira-kira jam 11.50 malam.

"Pemeriksaan awal menemui satu magazine berwarna hitam berisi 13 butir
peluru dan tujuh butir peluru hidup yang ditemui dalam kereta yang dinaiki
suspek yang kemudiannya turut dirampas," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek di Taman Cheras
tersebut menemui 500 biji pil eramin 5, 95 gram syabu dan sebuah telefon bimbit
dan wang tunai sebanyak RM1.63 juta yang disembunyikan di rumah itu.

"Kami percaya wang yang dirampas itu untuk biayai aktiviti pengedaran dadah
di sekitar Lembah Klang dan kami sedang mengenalpasti individu-individu lain
yang terbabit," kata Zulkifli.

Sementara itu, dalam operasi kedua kira-kira jam 9.30 pagi dua hari lalu,
seorang lelaki dan seorang wanita ditahan dan wang tunai sebanyak RM150,750
dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah di sebuah
kondominium di Jalan Klang Lama.

Menurutnya, polis turut merampas lima bungkus plastik lutsinar yang disyaki
dadah jenis ketamine seberat 1,430 gram dan empat paket plastik lutsinar dadah
disyaki heroin sebanyak 13 gram.

Turut dirampas enam butir peluru hidup dan empat telefon bimbit,
katanya.

Zulkifli berkata, ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek
masing-masing berumur 39 dan 25 tahun itu positif dadah.

Dalam operasi ketiga, seorang wanita tempatan dan lima lelaki warga Nigeria
yang kesemuanya berumur antara 24 dan 34 tahun ditahan di sebuah rumah teres di
Taman Puchong Hartamas awal pagi 2 Februari lalu.

Beliau berkata, polis berjaya merampas 24 plastik lutsinar disyaki dadah
jenis syabu seberat 805 gram dan dua paket plastik lutsinar ganja seberat 117
gram.

Katanya, turut dirampas wang tunai sebanyak RM128,822, kereta jenis Proton
Persona, barang kemas, komputer riba dan sembilan telefon bimbit.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Merbahaya, tambah beliau. - BERNAMA

Polis buru perompak bersiri warga asing

2011/02/08
SEREMBAN: Sekumpulan perompak bersiri dipercayai warga Indonesia diburu kerana terbabit dalam kejadian samun bersenjata sejak tahun lalu dan kes terbaru berlaku di Kuala Pilah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata kumpulan dianggotai antara lima hingga enam lelaki warga asing itu dianggap sebagai agresif dan bahaya kerana sering mencederakan mangsa. “Modus operandi kumpulan ini adalah memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang. Mereka kemudian mengikat dan memukul mangsa sebelum melarikan barang berharga, wang tunai dan dalam beberapa kes, mereka turut melarikan kereta. “Penjenayah terbabit membawa senjata tajam seperti parang dan kadang-kala mendapatkannya di rumah mangsa untuk digunakan dalam rompakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 4 pagi semalam, sekumpulan enam perompak terbabit memecah masuk rumah seorang pengawal keselamatan di sebuah kampung di Terachi, Kuala Pilah dekat sini, dan mengikat mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuannya.

Hamdan berkata, mangsa berumur 52 tahun dipukul hingga cedera dan keluarganya diacukan parang ketika kumpulan terbabit menggeledah rumahnya untuk mencari barangan berharga.

Antara barangan dilarikan adalah sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran NBC 6931, selaras senapang patah, 30 butir peluru, barangan kemas dianggarkan bernilai RM7,000 dan wang tunai RM2,000.
Bagaimanapun, polis menemui semula kereta, senapang patah dan peluru ditinggalkan di tapak pasar malam Senawang Jaya dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Hamdan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi polis di talian 06-7682222 bagi membantu siasatan

Peniaga barangan lusuh mati ditembak

2011/02/08


K PITCHAI (gambar kecil) terbaring dengan dua kesan tembakan apabila premis perniagaan barangan lusuh miliknya di Jalan Barrack, Taiping, disamun awal pagi semalam. TAIPING: Seorang peniaga barangan lusuh mati terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang daripada tiga penjenayah yang menyamun premis perniagaannya di Jalan Barrack, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, K Pitchai, 71, mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan dada akibat tembakan pistol yang dilepaskan penjenayah terbabit. Suspek turut membelasah dua rakan mangsa di premis berkenaan hingga kedua-dua cedera, termasuk seorang parah. Bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang turut berada di situ terselamat.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata ketiga-tiga penjenayah terbabit yang menutup muka dengan kain memasuki premis itu sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, suspek tiba-tiba melepaskan dua das tembakan mengenai kepala dan dada mangsa. Mangsa terus rebah dalam keadaan berlumuran darah dan mati di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Yusuf berkata, suspek turut memukul kepala rakan mangsa, iaitu M Palsamy, 67, dan seorang lagi dikenali sebagai Subramaniam, 60-an, hingga cedera sebelum melarikan diri bersama wang tunai RM8,000.
Katanya, Palsamy yang cedera parah di kepala kini ditempatkan di wad Hospital Taiping (HT), manakala Subramaniam hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di 05-8080222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Warga emas ditahan edar Eramin 5

BAGAN SERAI 7 Feb. - Walaupun telah berusia 61 tahun dan memiliki empat rekod jenayah dan dadah, seorang warga emas masih tidak insaf apabila ditahan lagi kerana mengedar 1,300 biji pil Eramin 5 bernilai RM19,000 di Jalan Pantai, Kuala Kurau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah diketuai Inspektor Mohd. Sofian Kasudin hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada pukul 2 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat ke atas suspek menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi 200 biji pil Eramin 5 di dalam bakul motosikal itu.

"Hasil siasatan suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di No. 429 Jalan Pantai di sini, dan menemui 1,100 lagi pili Eramin 5 yang disimpan dalam plastik berwarna ungu.

"Dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan 200 hingga 300 penagih pil Eramin 5," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mat Fauzi berkata, pihaknya percaya dengan penangkapan suspek, polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran pil Eramin 5 di utara negeri itu.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari hingga 10 Februari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek berasal dari Kuala Kurau dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kita percaya pil itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui perairan negeri ini," katanya.

Gadis koma selepas dirogol, dicampak di tepi jalan

Hamdan Majid menunjukkan gambar mangsa yang koma selepas dirogol, dipukul sebelum dicampak di tepi jalan di Seremban, semalam

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 7 Feb. - Entah di mana hilangnya sifat kemanusiaan apabila seorang gadis bukan sahaja dirogol malah dipukul sebelum dicampakkan di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Lukut, dekat sini, Jumaat lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini koma akibat kecederaan parah di belakang kepala.

Ketika ditemui orang awam pukul 6.35 pagi, gadis berketurunan Cina dan berusia 20-an itu memakai kemeja berwarna merah dan seluar jeans paras lutut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

"Hasil pemeriksaan kita mendapati mangsa mengalami keretakan pada bahagian belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa yang disyaki warga tempatan turut cedera di kedua-dua belah siku dan lutut kerana diseret selain sebelum itu dirogol," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelas Hamdan, setakat ini, identiti mangsa belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Kita percaya mangsa mungkin diserang lebih daripada seorang sebelum dia dicampakkan di kawasan berkenaan.

"Mangsa kini ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan keadaannya dilaporkan stabil," jelasnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 kerana merogol.

Tambahnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara mara atau mempunyai maklumat mengenai mangsa agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.

Sunday, February 6, 2011

Kedua belah tangan hampir putus ditetak

LUMUT 6 Feb. 2011 - Seorang lelaki dari Melaka yang sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina di Ayer Tawar dekat sini, hampir putus kedua belah tangannya apabila ditetak sekumpulan lelaki semasa dia dilarikan dalam sebuah kereta, hari ini.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah hari semasa lelaki berumur lingkungan 50-an itu sedang menunggu isterinya membeli-belah, apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba muncul dan terus mengheretnya ke dalam sebuah kereta.

Beliau berkata dalam pergelutan semasa kereta itu bergerak menghala arah laluan Lumut-Ipoh, kedua-dua belah tangan lelaki itu hampir putus akibat ditetak dengan parang selepas dia diugut menyerahkan sejumlah wang oleh penculiknya.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, ujarnya, lelaki itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Banjar, Beruas dekat sini sebelum ditemui orang awam yang terus menghubungi polis.

Menurut polis, lelaki yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) dekat sini sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada pukul 3 petang menerusi penerbangan ihsan menggunakan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.

Beliau berkata, HSM terpaksa menggunakan khidmat helikopter TLDM bagi memindahkan lelaki itu dengan segera supaya kedua-dua tangannya dapat disambung semula menerusi pembedahan khas di PPUM.

"Polis sedang berusaha mengesan suspek yang dipercayai lebih dua orang yang terlibat dalam kejadian itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Ibu mangsa ragut maut selepas koma

PETALING JAYA 6 Feb 2011 – Dua peragut bertindak kejam menendang motosikal dinaiki seorang ibu kepada empat anak sehingga mengakibatkan wanita itu maut selepas tiga hari koma dalam kejadian

di Jalan Klang Lama pada Khamis lalu.

Kejadian berlaku pukul 3 petang ketika motosikal ditunggangi mangsa, Zabedah Abas, 46, terjatuh sebaik sahaja ditendang dua penjenayah itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di kepala.

Bagaimanapun, tiga hari selepas koma dan dirawat

di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pemilik sebuah restoran di Taman Medan itu meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Suami mangsa, Azlan Abdul Aziz, 48, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu yang berlaku berhampiran stesen minyak Shell oleh orang ramai ketika menunggu ketibaan isterinya di sebuah warung berhampiran restoran mereka.

“Biasanya, isteri saya tidak akan mengambil masa yang lama untuk datang ke kedai dari rumah tetapi hari itu, dia lambat dan saya berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Telahan saya benar apabila tidak lama kemudian, ada orang memberitahu isteri saya menjadi mangsa ragut. Setibanya saya di tempat kejadian, saya dapati bahagian tempurung kepala isteri saya pecah dan mulutnya berbuih,” katanya sebak ketika ditemui di PPUM hari ini.

Menurut Azlan, dia dimaklumkan bahawa penjenayah yang menaiki motosikal itu telah mengekori motosikal isterinya sejak dari sebuah persimpangan berhampiran rumah mereka.

“Saya diberitahu, setibanya

di tempat kejadian, mereka bertindak meragut beg tangan dan beg pinggang isteri saya sebelum menendang motosikalnya. Ketika itu, isteri saya cuba melawan tetapi apakan daya, dia jatuh dan cedera teruk di kepala,” katanya.

Mangsa meninggalkan seorang suami, dua anak perempuan dan sepasang anak kembar lelaki.

Sementara itu, anak mangsa, Nur Azlin Azlan, 20, memberitahu, ibunya itu mungkin telah lama diperhatikan penjenayah terbabit.

Dua lelaki maut ditetak, disembelih

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Kesan tompokan darah yang ditemui orang ramai di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan dekat sini pagi ini membawa kepada penemuan mayat dua lelaki yang dibunuh secara kejam.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, pelanggan premis berkenaan curiga dengan kesan tompokan darah yang terlalu banyak dari tangga di tepi kedai itu.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat bagi mengetahui punca kesan darah berkenaan.

Polis yang tiba tidak lama kemudian menemui dua mayat lelaki warga asing yang dipercayai baru dibunuh di tingkat tiga rumah kedai tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, mayat kedua-dua lelaki warga Myanmar berusia 20-an itu ditemui di asrama yang menempatkan pekerja kilang kitar semula dakwat mesin pencetak.

Katanya, mayat pertama yang memakai kain pelikat ditemui di ruang tamu dengan kesan kelar di leher serta 10 kesan tetakan di dada.

“Mayat kedua pula ditemui di dalam bilik, juga mempunyai kesan kelar di leher serta 12 tetakan di dada. Mereka dipercayai ditetak dengan menggunakan pisau pemotong daging yang ditemui di rumah tersebut.

“Kedua-dua mangsa dipercayai bergelut dengan suspek sebelum dibunuh dengan kejam oleh lebih daripada seorang pembunuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Beliau menambah, dalam pergelutan itu suspek dipercayai turut cedera parah sehingga darahnya menitis di tangga dan di hadapan premis serbaneka di tingkat bawah.

Katanya, mangsa dipercayai tinggal bersama dua lagi rakannya di rumah berkenaan dan kedua-dua lelaki tersebut kini sedang diburu bagi membantu siasatan.

Abd. Razak memberitahu, satu operasi mengesan suspek turut dilancarkan pagi ini di kawasan berdekatan.

“Dalam operasi itu, kita menahan 30 warga asing yang berada berdekatan lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk kejadian.

“Namun setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan walaupun tiada kejadian berunsur rompakan boleh dikaitkan,” ujarnya.

Tuesday, February 1, 2011

Empat lagi suspek kes culik tauke kedai pajak diburu polis

SHAH ALAM 1 Feb. 2011 - Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes culik seorang pemilik kedai pajak gadai di Kuala Selangor, Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, empat individu itu disyaki sebahagian daripada anggota kumpulan culik tersebut.

Menurutnya, mereka ialah Magaswaran Rethnam, 29; Nimalan Sethuraman, 19; Lavaseelan Subramaniam, 30, dan Saravanan Ilangoran, 26.

Menurutnya, identiti keempat-empat mereka dikenal pasti setelah pihaknya menahan empat suspek berusia antara 30 dan 50 tahun di sebuah restoran di Malim, Melaka, 27 Januari lalu.

"Empat suspek itu ditahan selepas isteri mangsa menyerahkan wang tebusan RM500,000 pada hari sama (Khamis lalu) di sebuah jejantas di Lebuh Raya Utara-Selatan pukul 5.30 petang.

"Kita berjaya menemui mangsa di sebuah kawasan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan. Selain itu, kita juga turut menemui semula wang tebusan hasil daripada penahanan empat suspek terbabit.

"Bagaimanapun, jumlah wang tebusan yang ditemui hanya berjumlah RM484,750. Namun, kita percaya mereka yang masih bebas berada di dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut meminta bantuan orang ramai yang mengenali suspek supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Rosli berkata, pihaknya telah menahan reman empat suspek itu sehingga 3 Februari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, mangsa berusia 53 tahun diculik sekumpulan lelaki ketika sedang membuka kedai pajak gadai miliknya di Kuala Selangor.

Katanya, isteri mangsa kemudian membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di balai polis Kuala Selangor pada hari yang sama.

"Pada hari yang sama, isteri mangsa menerima panggilan telefon dari kumpulan terbabit meminta wang tebusan RM1.5 juta.

"Bagaimanapun, hasil rundingan, wang tebusan itu dikurangkan RM500,000 dan mengarahkan keluarga mangsa menyerahkan di sebuah lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya.