BENTONG 21 Feb. 2011 - Polis Pahang menumpaskan satu sindiket perjudian dan pertaruhan haram bernilai kira-kira RM13 juta apabila menahan enam lelaki dan lima wanita dalam serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di daerah ini, semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam 'Ops Dadu' yang dijalankan pada pukul 6.30 petang di sekitar Bentong, Karak dan Manchis di sini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani berkata, operasi diketuai Pegawai Turus Bahagian Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) negeri, Deputi Supritendan Zailani Amir bersama tiga pegawai dan 12 anggota.
"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa jenis peralatan termasuk set komputer, telefon talian tetap, telefon bimbit, mesin pencetak dan ratusan helaian kertas yang tercatat angka-angka dipercayai nombor ekor.
"Ketika diserbu, kesemua suspek sedang menjalankan urus niaga dan kita turut merampas wang tunai berjumlah RM25,000 hasil kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Rosli Abdul Rahman.
Menurut Sharifuddin, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi hampir tiga minggu lalu dengan jumlah pertaruhan mencecah hampir RM13 juta sebulan.
Menurutnya, operasi sindiket dijalankan secara dalam talian dan panggilan telefon.
"Siasatan yang dijalankan juga mendapati, ada antara suspek yang memiliki rekod kesalahan lampau.
"Sindiket itu juga dipercayai menjalankan operasi di Pahang dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian operasi sindiket itu," katanya.
Monday, February 21, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment