Tuesday, February 22, 2011

32 SMS telefon bimbit Beng Hock didedah

KUALA LUMPUR 22 Feb. 2011 - "SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sudah datang, mereka periksa komputer'' dan "Jangan cemas, sila bertenang. Jika perlukan apa-apa pertolongan, sila hubungi bila-bila masa.''

Itu adalah dua daripada 32 khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Cina yang diterjemahkan untuk pertama kali sejak ia ditemui dalam telefon bimbit milik Teoh Beng Hock pada 22 Julai, dua tahun lalu.

Terjemahan itu dibuat oleh seorang jurubahasa mahkamah selepas diarahkan oleh Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempengerusi suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor itu dalam prosiding hari ini.

Turut ditemui adalah dua SMS yang melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan Beng Hock yang berbunyi:

"Beng Hock, apa khabar. Tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan. Saya sangat takut dan terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tidak apa-apa. Baru senang hati. Harap awak tidak apa-apa - kak lan.''

"Awak sudah popular. Awak macam mana. Kami bimbang akan awak. Sudah keluar nanti, jangan lupa laporkan yang awak selamat.''

Selain itu, terdapat berapa SMS berupa makluman, petikan sajak termasuk jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2009.

Turut ditemui adalah satu SMS yang seolah-olah dihantar secara rambang berbunyi: "Nyawa Beng Hock telah menerangi dunia semua orang. Hantarlah dia. Kita perlu menjaga anaknya.''

Bagaimanapun, maklumat tentang siapa penghantar atau penerima, masa dan tarikh semua SMS tidak disebut secara terperinci.

Sementara itu, pegawai penyiasat daripada Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Cheras, Inspektor Mohd. Zaidi Abu Hassan semasa memberi keterangan berkata, terdapat beberapa SMS yang telah dibuka dan dibaca selepas kematian Beng Hock.

Hasil analisis ke atas telefon bimbit Beng Hock, beliau mendapati panggilan terakhir dibuat kepada ketuanya, Ean Yong Hian Wah pada pukul 6.15 petang, 15 Julai 2009, manakala panggilan terakhir diterima pada pukul 6.18 petang, hari yang sama.

Sementara panggilan tidak berjawab yang terakhir diterima daripada Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lee Kee Hiong pada pukul 5.19 petang, 15 Julai 2009.

"Hasil analisis saya, memang SMS tersebut tidak mengikut susunan. Bagaimanapun sistem dan peralatan yang saya guna tidak benarkan sebarang pengubahan data,'' katanya.

Turut memberi keterangan adalah ahli kimia dan pegawai sains dari Jabatan Kimia Malaysia, Zaraiha Awang dan Saiful Fazamil Mohd. Ali serta pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. K. Saravanan.

Terdahulu, Cheng Yuen memaklumkan pihaknya akan turut menghantar surat kepada syarikat telekomunikasi, Digi Telecomunications Sdn. Bhd. untuk mendapatkan rekod terperinci bagi penggunaan telefon bimbit Beng Hock termasuk SMS dan panggilan yang telah dipadamkan.

Katanya, penyiasat bebas yang akan membuat analisis juga akan dilantik dalam tempoh terdekat dan ia akan diumumkan sebaik sahaja pelantikan berkuatkuasa.

Berhubung pakar patologi dari Thailand dan United Kingdom, Dr. Pornthip Rojanasunand dan Prof. Dr. Peter Venezis, jelas beliau tiada sebarang maklum balas diterima walaupun surat rasmi telah dihantar.

Katanya, cubaan untuk menghubungi telefon bimbit Pornthip telah dilakukan namun tiada sebarang respons hingga hari ini.

Berikutan itu, suruhanjaya akan mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan Malaysia di Thailand bagi memastikan kehadiran pakar patologi itu.

Menurut Cheng Yuen, suruhanjaya akan mendapatkan khidmat pakar tulisan dari United Kingdom bagi menganalisis nota dan dokumen yang difikirkan perlu.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan semua pihak khususnya media agar tidak lagi merujuk tiga pegawai pengendali suruhanjaya itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara permohonan peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah agar pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dibenarkan untuk mengikuti prosiding serta membuat pemerhatian terhadap saksi-saksi akan diputuskan oleh suruhanjaya esok.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009, ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Mahkamah Koroner di Shah Alam pada 5 Januari lalu bagaimanapun memutuskan hasil inkues itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).

Prosiding yang diadakan di Mahkamah NCvC di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

No comments:

Post a Comment