Monday, February 14, 2011

Sentral: Bawa budak elak kena cekup

Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/02/15


PENGUAT KUASA menahan pasangan yang membawa kanak-kanak dalam operasi antizina di hotel bajet di Dengkil. Lima pasangan ditahan dalam operasi antizina di hotel bajet

SEPANG: Lima pasangan beragama Islam ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sepang dalam operasi antizina di beberapa hotel bajet sekitar pekan Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi di sini, ketika meraikan hari kekasih, malam kelmarin. Operasi yang dijalankan secara bersepadu Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu bermula pada jam 2 pagi pada awalnya menahan dua pasangan yang sedang tidur di hotel murah di pekan Dengkil. Pasangan kekasih yang ditahan itu adalah duda berumur 27 tahun dari Dengkil bersama seorang wanita berusia 21 tahun dari Kajang dikatakan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa kanak-kanak lelaki sebagai modal melindungi perbuatan mereka.

Ketika serbuan, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu tidur bersama pasangan berkenaan.

Pegawai Penguat Kuasa PAID Sepang, Alfian Ahmad, berkata ketika serbuan, lelaki terbabit didapati berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita itu pula berpakaian lengkap.

Lelaki berkenaan turut mempunyai seorang anak lain dan mendakwa akan berkahwin dengan wanita terbabit pada Jun depan.
Pasangan berkenaan ditahan kerana berdua-duaan dalam bilik hotel berkenaan sehingga menimbulkan syak.

Sementara itu, di hotel berasingan, seorang janda berusia 48 tahun ditangkap berkhalwat bersama pasangannya yang juga suami orang berusia 52 tahun.

Pemeriksaan mendapati kedua-duanya berasal dari Sarawak dan menetap di Johor untuk datang bermalam di hotel itu atas alasan menghadiri mesyuarat di Putrajaya.

Ketika serbuan, pintu bilik itu dibuka oleh wanita terbabit yang memakai baju tidur, manakala pasangannya baring di atas katil dengan berselimut dengan hanya berseluar.

Di Bandar Baru Salak Tinggi pula, tiga pasangan bukan muhrim dicekup di sebuah hotel yang mana dua pasangan adalah pekerja kontrak pembersih kapal terbang dan satu lagi pasangan yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi untuk diambil keterangan sebelum dijamin rakan atau pihak tertentu.

Mereka boleh didakwa mengikut seksyen 29(1) (A&B) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 2 tahun.

Alfian berkata, operasi antizina yang dijalankan itu bertujuan mengurangkan gejala sosial di Selangor.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu turut disertai penguat kuasa MPSepang.

Lima hotel diperiksa iaitu tiga di Dengkil dan masing-masing sebuah di Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi.

No comments:

Post a Comment