Thursday, February 10, 2011

Peniaga kantin edar kanabis

Oleh ROKIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 10 Feb. – Seorang peniaga kantin sekolah dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 4,420 gram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Shahrizal Abdul Ghani, 37, setelah mendapati pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

‘‘Selepas menimbangkan dan mengambil kira keterangan semua saksi, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes terhadap kamu, Shahrizal tanpa sebarang keraguan.

‘‘Oleh itu tiada hukuman lain yang boleh saya berikan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,’’ kata Nurmala dalam penghakiman lisannya kira-kira pukul 9 pagi.

Shahrizal yang memakai kemeja-T warna putih dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepala ketika hukuman itu dijatuhkan manakala dua wanita dipercayai ibu dan adiknya terus menangis.

Kedua-dua mereka juga telah bertindak menutup muka Shahrizal menggunakan beg tangan yang dibawa bagi menghalang jurugambar daripada merakamkan gambar tertuduh di luar mahkamah.

Wanita terbabit turut menunjukkan isyarat tangan meminta gambar tertuduh tidak diambil.

Mengikut pertuduhan, Shahrizal dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 4,420 gram kira-kira pukul 10 malam, 14 Mac 2009 di Restoran Nasi Kandar Pelita di Juru Autocity, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kes itu, pihak pendakwaan telah memanggil 10 saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.

No comments:

Post a Comment