IBRAHIM Mohd. Aris menunjukkan gambar bayi yang didakwa kononnya ditinggalkan di tepi jalan di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
BATU PAHAT 10 Feb. - Demi menyembunyikan kelahiran luar nikah seorang bayi lelaki hasil hubungan dengan tunangnya, seorang pemuda sanggup membuat laporan palsu kononnya dia menemui bayi tersebut di tepi jalan.
Meskipun tindakan itu lebih baik daripada membuang bayi, ia tetap salah dan suspek bersama tunangnya berdepan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, suspek berusia 23 tahun dan bekerja di sebuah kilang membuat laporan palsu itu pada pukul 9.15 malam tadi.
"Dalam laporan itu, dia mendakwa kononnya menemui bayi tersebut di tepi jalan ketika pulang dari tempat kerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini.
"Suspek kemudiannya mendakwa membawa bayi lelaki itu pulang ke rumah kerana kasihan melihat bayi tersebut yang kesejukan dan ditinggalkan dalam bakul sebelum membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ibrahim berkata, polis yang menyiasat kejadian itu akhirnya mendapati bayi tersebut adalah anak suspek dan tunangnya yang juga rakan sekerjanya.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut juga mendapati, tunang suspek berusia 22 tahun yang berasal dari Melaka melahirkan bayi lelaki itu secara normal di sebuah hospital swasta di daerah ini sehari sebelum laporan polis dibuat.
"Pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Mereka dipercayai membuat laporan palsu bagi menutup kelakuan sumbang sehingga melahirkan anak, namun tindakan mereka membuat laporan palsu itu tetap salah," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Penguat Kuasa Agama Daerah, Mohd. Anuar Kosnin berkata, kes membabitkan pasangan itu belum dirujuk kepada pihaknya dan beliau akan mengambil tindakan sewajarnya sebaik sahaja menerima laporan.
Beliau memberitahu, kes itu boleh disiasat mengikut Seksyen 23 (1) untuk lelaki dan Seksyen 23 (2) bagi perempuan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melahirkan bayi luar nikah.
Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau ketiga-tiganya sekali," katanya lagi.
Thursday, February 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment