2 beradik mati minum susu beracun
Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Hancur luluh hati seorang bapa apabila melihat sendiri dua anak perempuannya, Rashme Sivarajah dan Neeharika Laxmi berusia empat dan satu tahun mati akibat diberi minum susu beracun di rumahnya di Bandar Baru Bangi, dekat sini malam semalam.
Lebih menyedihkan susu berkenaan diberi oleh isterinya sendiri yang disyaki mengalami sakit mental.
Dalam kejadian pukul 8.17 malam itu, wanita berkenaan, M. Viyhasini, 30, turut kritikal setelah dia juga meminum racun sebaik sahaja membunuh kedua-dua anaknya di dalam sebuah bilik tidur di rumahnya.
Kejadian menyayat hati itu disedari oleh ibu mertua Viyhasini yang mengesyaki sesuatu buruk berlaku apabila menantu dan dua cucunya tidak keluar dari bilik.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob, wanita itu kemudian menghubungi anaknya, Sivarajah, 33, yang merupakan pengusaha kedai gunting rambut.
"Lelaki itu bergegas pulang dan membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua dan mendapati isteri dan anaknya tidak sedarkan diri di atas lantai serta mulut berbuih.
"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar An-Nur tetapi kedua-dua kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia.
"Isterinya yang dihantar ke Hospital Serdang pula dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati ibu mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan psikiatri dan sakit mental.
"Wanita itu pernah cuba untuk membunuh diri pada 2006," tambahnya.
Tuesday, February 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment