Thursday, February 17, 2011

2 beradik bunuh abang tiri dipenjara tujuh tahun

2 beradik bunuh abang tiri dipenjara tujuh tahun


2011/02/18


MOHD Hairul Faiza (kiri) dan Mohd Hairul Anuar dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.KUALA TERENGGANU: Dua beradik dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat abang tiri mereka di Felda Kertih 5, Ketengah Jaya, Dungun pada Oktober 2007.

Tertuduh, Mohd Hairul Faiza Yahaya, 30, dan adik Mohd Hairul Anuar Yahaya, 27, didapati bersalah membunuh tanpa niat Mohd Nazly Yahaya kira-kira jam 11.30 malam pada 4 Oktober 2007 di rumah mereka di Felda Kertih 5. Mohd Hairul Faiza yang berkemeja putih dan adiknya berkemeja biru kelihatan tenang ketika Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu di hadapan ahli keluarga tertuduh yang memenuhi Galeri Awam. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman berikutan tertuduh mahu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk meringankan hukuman.

Azman kemudian membenarkan permohonan untuk meringankan hukuman itu berikutan ia kesalahan pertama tertuduh dan ia membabitkan kes adik beradik. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.

Mengikut fakta pertuduhan, dua beradik itu dituduh menyebabkan kematian Mohd Nazly dengan niat mendatangkan kecederaan pada tubuh badan yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574 dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun sama) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara.

No comments:

Post a Comment