Thursday, February 17, 2011

Lagi warga Iran ditahan, syabu RM875,000 dirampas

R. MARIAPPA (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 17 Feb. - Walaupun pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah ke negara ini berjaya ditumpaskan pihak berkuasa, penyeludup khususnya dari Iran tidak pernah serik.

Terbaru cubaan seorang warganegara itu menyeludup 3.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM875,000 di satu ruang khas bagasi miliknya berjaya dipatahkan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pukul 3.15 petang.

Ia kes ketiga membabitkan penyeludupan dadah oleh warga asing di lapangan terbang tersebut dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, R. Mariappa berkata, pegawai UKPP mendapati terdapat imej meragukan ketika imbasan terhadap bagasi suspek sebelum bertindak membuat pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan itu, kita menemui lima bungkusan kertas karbon berwarna biru disaluti plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki syabu," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek yang menaiki penerbangan dari Dubai ke Singapura sebelum tiba di negeri ini semalam, kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Mariappa memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

"Mengikut rekod kita, suspek kali pertama datang ke negara ini dan dia datang bersendirian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan seorang wanita Uganda yang turut ditahan di lapangan terbang itu 11 Februari lalu atas kesalahan yang sama.

Tambah beliau, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan dadah atau bahan lain seperti rokok, minuman keras atau mercun melalui talian bebas tol 1-800-88-8855

No comments:

Post a Comment