KUALA LUMPUR 21 Feb. 2011 - Satu sindiket curi kereta yang dikesan berlaku di tiga negeri termasuk ibu negara sanggup menyamar sebagai anggota polis atau kastam dan melakukan sekatan jalan raya.
Kumpulan ini juga turut dikesan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pasukan penguat kuasa sebelum melarikan kenderaan kononnya atas alasan kereta itu terlibat dalam jenayah.
Bagaimanapun, taktik licik kumpulan itu yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang itu sejak dua tahun lalu tumpas apabila polis menahan 15 ahli kumpulan tersebut dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Kesemuanya termasuk sepasang suami isteri yang berusia antara 21 tahun dan 24 tahun ditahan berasingan di sekitar Cheras, Seremban dan Tanjung Malim dalam tempoh dua bulan operasi.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diwujudkan pada 13 Januari lalu bagi menyiasat dan memburu kumpulan penjenayah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis turut merampas dua kelopak peluru, sepucuk pistol semi automatik, sepucuk pistol angin, 50 gram dadah syabu dan 500 gram ketamin.
"Empat kereta jenis Honda Civic, Proton Wira, Proton Waja dan Peugeot yang dilaporkan hilang sekitar Lembah Klang, ditemui bersama suspek-suspek berkenaan. Kita percaya mereka terlibat dalam puluhan kes curi kenderaan namun jumlahnya sedang disiasat.
"Polis turut merampas peralatan menyamar termasuk uniform polis, pas kerja polis dan pas kerja kastam," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, modus operandi sindiket tersebut ialah membuat sekatan jalan raya atau pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis atau kastam sebelum melarikan kereta-kereta mangsa.
Monday, February 21, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment