Sunday, February 13, 2011

2 kumpulan gengster bergaduh, 4 cedera

KLANG 13 Feb. 2011 - Empat cedera parah termasuk seorang ditembak dalam pergaduhan bersenjata membabitkan dua kumpulan gangster di Jalan Datuk Manan, Kapar di sini, awal pagi ini.

Dalam pergaduhan melibatkan lebih 20 lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang dipercayai kerana dendam itu, dua buah kereta Proton Waja dan Proton Perdana milik anggota kedua-dua kumpulan terbabit musnah terbakar.

Polis yang tiba di tempat kejadian menemui senjata tajam seperti parang dan besi dipercayai digunakan semasa pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, semasa anggotanya tiba di lokasi pergaduhan, empat lelaki yang cedera parah terbaring di atas jalan raya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sekitar tempat kejadian menemui beberapa batang besi dan parang.

"Kita telah menghantar kesemua lelaki yang cedera ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dirawat dan ditahan untuk siasatan.

"Hasil soal siasat terhadap mereka, kita berjaya menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu kesemua anggota kumpulan gengster terlibat.

Katanya, pihaknya menyiasat kes tersebut daripada pelbagai sudut termasuk kerana dendam dan wanita.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 148 akta yang sama kerana memiliki senjata berbahaya," ujarnya

No comments:

Post a Comment