Tuesday, February 1, 2011

Empat lagi suspek kes culik tauke kedai pajak diburu polis

SHAH ALAM 1 Feb. 2011 - Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes culik seorang pemilik kedai pajak gadai di Kuala Selangor, Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, empat individu itu disyaki sebahagian daripada anggota kumpulan culik tersebut.

Menurutnya, mereka ialah Magaswaran Rethnam, 29; Nimalan Sethuraman, 19; Lavaseelan Subramaniam, 30, dan Saravanan Ilangoran, 26.

Menurutnya, identiti keempat-empat mereka dikenal pasti setelah pihaknya menahan empat suspek berusia antara 30 dan 50 tahun di sebuah restoran di Malim, Melaka, 27 Januari lalu.

"Empat suspek itu ditahan selepas isteri mangsa menyerahkan wang tebusan RM500,000 pada hari sama (Khamis lalu) di sebuah jejantas di Lebuh Raya Utara-Selatan pukul 5.30 petang.

"Kita berjaya menemui mangsa di sebuah kawasan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan. Selain itu, kita juga turut menemui semula wang tebusan hasil daripada penahanan empat suspek terbabit.

"Bagaimanapun, jumlah wang tebusan yang ditemui hanya berjumlah RM484,750. Namun, kita percaya mereka yang masih bebas berada di dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut meminta bantuan orang ramai yang mengenali suspek supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Rosli berkata, pihaknya telah menahan reman empat suspek itu sehingga 3 Februari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, mangsa berusia 53 tahun diculik sekumpulan lelaki ketika sedang membuka kedai pajak gadai miliknya di Kuala Selangor.

Katanya, isteri mangsa kemudian membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di balai polis Kuala Selangor pada hari yang sama.

"Pada hari yang sama, isteri mangsa menerima panggilan telefon dari kumpulan terbabit meminta wang tebusan RM1.5 juta.

"Bagaimanapun, hasil rundingan, wang tebusan itu dikurangkan RM500,000 dan mengarahkan keluarga mangsa menyerahkan di sebuah lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya.

No comments:

Post a Comment