Wednesday, February 16, 2011

Wanita Uganda ditahan bersama syabu bernilai RM750,000

BUKIT MERTAJAM 16 Feb. 2011 - Selepas seorang lelaki warga Iran ditahan kerana menyorokkan dadah dalam ruang khas beg bulan lalu, sekali lagi taktik sama digunakan untuk menyeludup dadah ke negeri ini.

Ia dikesan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri setelah menahan seorang wanita warganegara Uganda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, 11 Februari lalu.

Suspek yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan pukul 2.45 petang selepas bagasi miliknya yang diimbas mengandungi imej meragukan.

Menurut Timbalan Pengarah Kastam negeri (Bahagian Penguatkuasaan), R. Mariappa, bagasi itu kemudian diperiksa dengan rapi oleh pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Narkotik sebelum berjaya menemui satu ruang khas di dalamnya.

"Di dalam ruang tersebut ditemui dua bungkusan aluminium mengandungi kristal yang disyaki syabu seberat tiga kilogram dipercayai untuk diedarkan di negeri ini.

"Anggaran nilai pasaran ketulan kristal itu adalah RM750,000 dan berdasarkan rekod wanita berkenaan pertama kali masuk ke Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mariappa, wanita yang bekerja sebagai tukang masak berusia 30-an itu dipercayai menaiki penerbangan dari Hong Kong dan transit di Kuala Lumpur sebelum datang ke Pulau Pinang.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Suspek kini ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kita masih menyiasat pasaran dadah itu," ujarnya.

Pada 9 Januari lalu, seorang lelaki warganegara Iran ditahan selepas menyorokkan 3.5 kilogram dadah jenis syabu di dalam ruang khas pada beg galas miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

No comments:

Post a Comment