Peragut baru kahwindi penjara 4 tahun
MUHAMMAD Khairul Amir Mohd. Kamal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
PULAU PINANG 25 Feb. - Seorang penjual burger yang baru dua bulan melangsungkan perkahwinannya dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan, tahun lalu.
Hakim Roslan Ahmad memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Muhammad Khairul Amir Mohd. Kamal, 23, yang berasal dari Jalan Perda Utama, Bukit Mertajam berkuat kuasa mulai hari ini.
Sebaik sahaja hukuman dibacakan, tertuduh yang berbaju-T dan berseluar jean biru dilihat menundukkan kepalanya.
Dalam keadaan sebak dia juga beberapa kali memandang isteri dan ibunya yang berada di galeri awam.
Mahkamah sepatutnya hari ini mendengar keterangan tertuduh setelah dia diperintahkan membela diri atas tuduhan itu 7 Februari lalu. Bagaimanapun, dia memilih untuk mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairul Amir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan dengan mengambil sebuah beg pinggang berwarna hitam daripada mangsa, Yong Guan Seng, 48.
Perbuatan itu dilakukannya pada pukul 3.05 petang, 13 Julai 2010, di Jalan Mount Erskine (berhampiran kubur Cina) di sini.
Beg tersebut mengandungi wang tunai RM1,000, empat kad kredit pelbagai bank, kad pengenalan, lesen memandu, dua telefon bimbit, serangkai kunci, dan beberapa dokumen lain milik mangsa.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanipah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang membonceng sebuah motosikal bersama rakannya bertindak membuka beg pinggang milik mangsa dari arah belakang sebelum melarikannya.
Mangsa bagaimanapun sempat mengecam muka dan warna pakaian suspek ketika itu.
Tertuduh juga menoleh beberapa kali ke arah mangsa sambil mentertawakannya tetapi motosikal yang dinaiki suspek berpatah balik ke tempat kejadian semula kerana tersesat jalan.
Ketika itu, mangsa sempat menyalin nombor pendaftaran motosikal tertuduh yang dipercayai palsu dan membuat laporan polis di balai polis berdekatan.
Hasil maklumat daripada mangsa, suspek bersama rakannya itu berjaya ditahan di kawasan Weld Quay kira-kira 15 minit kemudiannya dan berlaku pergelutan. Rakan tertuduh sempat melarikan diri dan tidak berjaya ditangkap sehingga kini.
Sunday, February 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment