Monday, February 7, 2011

Polis buru perompak bersiri warga asing

2011/02/08
SEREMBAN: Sekumpulan perompak bersiri dipercayai warga Indonesia diburu kerana terbabit dalam kejadian samun bersenjata sejak tahun lalu dan kes terbaru berlaku di Kuala Pilah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata kumpulan dianggotai antara lima hingga enam lelaki warga asing itu dianggap sebagai agresif dan bahaya kerana sering mencederakan mangsa. “Modus operandi kumpulan ini adalah memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang. Mereka kemudian mengikat dan memukul mangsa sebelum melarikan barang berharga, wang tunai dan dalam beberapa kes, mereka turut melarikan kereta. “Penjenayah terbabit membawa senjata tajam seperti parang dan kadang-kala mendapatkannya di rumah mangsa untuk digunakan dalam rompakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 4 pagi semalam, sekumpulan enam perompak terbabit memecah masuk rumah seorang pengawal keselamatan di sebuah kampung di Terachi, Kuala Pilah dekat sini, dan mengikat mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuannya.

Hamdan berkata, mangsa berumur 52 tahun dipukul hingga cedera dan keluarganya diacukan parang ketika kumpulan terbabit menggeledah rumahnya untuk mencari barangan berharga.

Antara barangan dilarikan adalah sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran NBC 6931, selaras senapang patah, 30 butir peluru, barangan kemas dianggarkan bernilai RM7,000 dan wang tunai RM2,000.
Bagaimanapun, polis menemui semula kereta, senapang patah dan peluru ditinggalkan di tapak pasar malam Senawang Jaya dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Hamdan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi polis di talian 06-7682222 bagi membantu siasatan

No comments:

Post a Comment