Thursday, February 17, 2011

Kakitangan stesen TV mati ditekup bantal

Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/02/18
Mayat mangsa ditemui terikat di dalam bilik tidur

KUALA LUMPUR: Pegawai promosi sebuah stesen televisyen swasta ditemui mati dipercayai lemas akibat ditekup dengan bantal di rumah sewanya di sebuah flet di Jalan Api, Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, lewat malam kelmarin. Mayat mangsa ditemui jam 12 tengah malam dalam keadaan hanya memakai seluar dalam dan tertiarap di bilik tidurnya, manakala tangan, kaki dan lehernya diikat dengan wayar telefon. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Khalid, berkata rakan mangsa yang pulang selepas kerja jam 12 tengah malam terkejut apabila pintu jeriji rumah dan televisyen terbuka, namun tiada sesiapa yang menontonnya.

Wan Abdul Bari bagaimanapun mengesahkan tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh orang dikenalinya berdasarkan keadaan rumah itu.

Katanya, pasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas dimaklumkan oleh rakan serumah mangsa mendapati mangsa mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

“Kita juga percaya terdapat lebih daripada seorang suspek yang melakukan pembunuhan itu berdasarkan pada keadaan mangsa yang ditemui diikat, agak sukar untuk seorang melakukannya,” katanya.
Sehingga kini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Selain itu, polis juga sedang meneliti satu laporan polis yang pernah dibuat mangsa bulan lalu kerana diugut supaya mengahwini seorang wanita.

Wan Abdul Bari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Saksi yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta menghubungi Rakan Cops Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment