Wednesday, February 16, 2011

Remaja ditembak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

TUMPAT 16 Feb. – Seorang remaja parah setelah terkena dua das tembakan ketika cuba menyerang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang dikatakan membelasah bapa saudaranya sehingga mati.

Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ini apabila remaja itu datang ke Hospital Tumpat (HT) di sini, bersama sekumpulan rakannya lalu bertindak menyerang empat anggota UPP yang berpakaian preman di sebuah kedai makan.

Berikutan itu berlaku pergelutan dan bagi mempertahankan diri, anggota tersebut telah melepaskan dua das tembakan yang mengenai remaja tersebut, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum kejadian, empat anggota itu telah menahan sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tin dekat sini hari ini.

Katanya, penahanan pukul 7.45 pagi itu dibuat setelah anggota-anggota terbabit mengesyaki kenderaan berkenaan membawa barangan seludup.

Tambahnya, kereta itu dipandu Said Mat Hassan, 56, yang merupakan bapa saudara Ahmad Nizamuddin.

“Menyedari dia diekori, Said melarikan diri dan ketika mengejar berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan 4WD (kenderaan pacuan empat roda) UPP mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja ditahan, anggota itu melihat mulut Said berbuih dan mukanya dalam keadaan pucat lalu dia dibawa ke HT untuk rawatan. Namun dia meninggal dunia sejurus sampai di hospital.

“Sejurus dibawa masuk untuk pemeriksaan, anggota-anggota itu keluar dan minum di kedai di hadapan hospital sementara pemeriksaan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pada masa sama, lima buah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki datang ke kedai berkenaan dan terus menyerang anggota tersebut.

Katanya, tiga daripada anggota itu berjaya meloloskan diri.

“Seorang lagi iaitu anggota dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang ditugaskan di bawah UPP terus dibelasah dengan cota dan sebagainya.

“Ekoran itu, anggota tersebut cedera di kepala dan bagi mempertahankan diri, dia melepaskan dua das tembakan dan mengenai Ahmad Nizamuddin di perut dan dada kanan,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit kemudian dibawa ke HT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil tersebut menemui 20 kampit beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Menurut Abdul Rahim, anggota UPP tersebut turut mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

No comments:

Post a Comment