Monday, February 7, 2011

Warga emas ditahan edar Eramin 5

BAGAN SERAI 7 Feb. - Walaupun telah berusia 61 tahun dan memiliki empat rekod jenayah dan dadah, seorang warga emas masih tidak insaf apabila ditahan lagi kerana mengedar 1,300 biji pil Eramin 5 bernilai RM19,000 di Jalan Pantai, Kuala Kurau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah diketuai Inspektor Mohd. Sofian Kasudin hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal jenis Honda EX5 pada pukul 2 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat ke atas suspek menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi 200 biji pil Eramin 5 di dalam bakul motosikal itu.

"Hasil siasatan suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di No. 429 Jalan Pantai di sini, dan menemui 1,100 lagi pili Eramin 5 yang disimpan dalam plastik berwarna ungu.

"Dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan 200 hingga 300 penagih pil Eramin 5," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mat Fauzi berkata, pihaknya percaya dengan penangkapan suspek, polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran pil Eramin 5 di utara negeri itu.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari hingga 10 Februari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek berasal dari Kuala Kurau dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kita percaya pil itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui perairan negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment