Thursday, February 10, 2011

Mati sebelum sempat sarapan kena belasah penyamun

2011/02/11
IPOH: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah oleh anaknya yang pulang menghantar sarapan pagi di rumah mereka di Taman Pertama, Jalan Silibin, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mayat, J Surojini, 73, ditemui dalam keadaan tersembam dan kesan luka di muka serta kepala, dipercayai dipukul dengan objek keras pada kira-kira jam 11.15 pagi. Katanya, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes samun berikutan keadaan rumah itu yang berselerak dan ada kesan seperti diselongkar. Beliau berkata, siasatan juga mendapati beberapa barang berharga milik keluarga mangsa hilang.

“Kita percaya mangsa dipukul suspek dengan benda keras hingga menyebabkan kematiannya. Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu, termasuk menjejaki suspek," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Azisman berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di 05-2451500.

Sementara itu, anak mangsa, V Ganesan, 50, berkata dia menyedari kejadian itu ketika menghantar sarapan pagi dan barang keperluan dapur untuk ibunya.
“Ketika tiba di rumah, saya lihat pintu pagar dan rumah terbuka. Melihat keadaan itu, saya bergegas masuk ke dalam untuk memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

“Sejurus selepas masuk, saya terkejut apabila melihat keadaan ibu yang sudah kaku serta berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah wang tunai serta barang berharga milik keluarganya dipercayai dilarikan penjenayah terbabit.

No comments:

Post a Comment