Sunday, February 13, 2011

Dadah: 5 sekeluarga ditahan

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my



Ibrahim Mohd. Yusoff (tengah) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan heroin yang dirampas di Jitra, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUBANG PASU 13 Feb. - Biarpun baru enam bulan keluar penjara atas kesalahan dadah, seorang penganggur tidak serik-serik apabila sekali lagi ditahan polis kerana mengedar dadah kelmarin.

Suspek berusia 52 tahun tersebut ditahan pukul 10.30 pagi di rumahnya di Kampung Naga Jitra dekat sini bersama heroin seberat 514.6 gram.

Polis juga menahan anak saudaranya iaitu lelaki berusia 35 tahun kerana dipercayai terbabit sama berdasarkan enam rekod jenayah dadah.

Isteri suspek berusia 54 tahun dan dua anaknya termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang berada di rumah tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusoff, suspek utama ditahan bersama anak saudaranya di bilik atas rumah terbabit.

Katanya, pemeriksaan mendapati bilik itu dijadikan tempat melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah tersebut.

"Ketika serbuan suspek dan anak saudaranya di tingkat atas rumah tersebut manakala isteri serta dua anaknya di bawah.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebungkus heroin seberat 460 gram bersama lima peket kecil seberat 54.6 gram.

"Turut ditemui di dalam bilik itu bungkusan plastik dan alat untuk membungkus dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, polis percaya suspek yang mempunyai enam rekod jenayah kesalahan sama, kembali aktif sebagai pengedar sejak beberapa bulan lalu di sekitar bandar ini dan Alor Setar.

"Suspek utama dan anak saudaranya dipercayai baru saja mendapat bekalan dadah dari sebuah negeri di utara dan cuba mengedarnya di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, suspek dibebaskan dari Penjara Pokok Sena di Alor Setar pada Ogos tahun lalu atas kesalahan dadah setelah dihukum empat tahun penjara dan dua sebatan.

Katanya, kesemuanya ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment