Sunday, February 13, 2011

Lelaki Bangladesh ditemui mati

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

NIBONG TEBAL 13 Feb. – Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan berulat di dalam rumah sewanya di tingkat tiga sebuah rumah pangsa di Taman Sungai Bakap Permai di sini hari ini.

Lelaki warga Bangladesh berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan mulutnya tertutup, pukul 1.20 petang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat tentang bau busuk di rumah itu daripada orang awam.

Menurutnya, polis yang datang kemudian menjumpai mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di rumah itu.

“Hasil siasatan, polis menjumpai sebentuk cincin berhampiran mayat mangsa selain sebuah motosikal Yamaha Lagenda beserta sehelai jaket di bawah rumah pangsa itu dipercayai milik mangsa.

“Polis juga percaya penemuan mayat lelaki itu ada kaitan dengan satu laporan penculikan yang dibuat pada 8 Februari lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Nasir, satu laporan kehilangan mangsa dibuat majikannya di Balai Polis Bukit Tambun selepas mangsa tidak datang bekerja di sebuah kilang di Bukit Tambun.

“Rumah itu disewa oleh beberapa lelaki Bangladesh dan operasi mengesan mereka masih dijalankan oleh pihak polis.

“Identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti dan polis akan membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat mangsa,” ujarnya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik serta Seksyen 302 kanun yang sama kerana membunuh.

“Mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment