Monday, February 28, 2011

Kecoh nelayan Vietnam mabuk bergaduh

Kecoh nelayan Vietnam mabuk bergaduh

ANGGOTA polis mengawal dua kumpulan nelayan warga Vietnam yang ditahan setelah terbabit dalam pergaduhan di Jeti Pelabuhan Perikanan Cendering, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN//AZLAN BAHRUM

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Suasana di Jeti Pelabuhan Perikanan Cendering dekat sini kecoh awal pagi ini apabila dua kumpulan nelayan warga Vietnam terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dua daripadanya parah.

Kejadian berlaku antara pukul 7.30 pagi hingga 8 pagi ketika kesemua 19 nelayan berusia lingkungan 20-an itu dikatakan mabuk selepas mengambil minuman keras sejurus selepas berlabuh di jeti itu seawal pukul 4 pagi.

Berikutan kejadian itu, enam orang nelayan ditangkap oleh polis manakala tiga lagi sempat melarikan diri ke arah Bukit Cendering yang terletak tidak jauh dari kawasan itu.

Dua nelayan yang cedera parah di rusuk kiri, paha dan kepala dalam kejadian itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Difahamkan, suasana di jeti bertukar kecoh serta kelam-kabut apabila berlaku aksi pergaduhan melibatkan senjata seperti parang dan batang besi meter di sekitar jeti itu.

Polis menemui dua bilah parang dan sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, sejumlah senjata lain sempat dibuang ke dalam laut sebelum anggota polis tiba di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua nelayan Vietnam dalam keadaan parah.

"Seorang daripadanya ditikam pada rusuk kiri dan paha manakala seorang lagi luka di kepala. Enam lagi berjaya diberkas manakala tiga lagi melarikan diri ke arah bukit berhampiran.

"Anggota polis dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuala Terengganu, IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) serta Unit Anjing Pengesan segera dikerah untuk menjejaki tiga nelayan Vietnam yang lepas lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Manoharan, dua kumpulan nelayan Vietnam itu tiba dengan bot berasingan di pelabuhan tersebut antara pukul 4 hingga 5 pagi sebelum mereka dipercayai mengambil minuman keras.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, berlaku salah faham antara mereka sehingga tercetus pergaduhan yang menyebabkan dua daripadanya cedera parah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui, ujarnya

No comments:

Post a Comment