Monday, February 7, 2011

Peniaga barangan lusuh mati ditembak

2011/02/08


K PITCHAI (gambar kecil) terbaring dengan dua kesan tembakan apabila premis perniagaan barangan lusuh miliknya di Jalan Barrack, Taiping, disamun awal pagi semalam. TAIPING: Seorang peniaga barangan lusuh mati terkena dua das tembakan yang dilepaskan seorang daripada tiga penjenayah yang menyamun premis perniagaannya di Jalan Barrack, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, K Pitchai, 71, mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan dada akibat tembakan pistol yang dilepaskan penjenayah terbabit. Suspek turut membelasah dua rakan mangsa di premis berkenaan hingga kedua-dua cedera, termasuk seorang parah. Bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang turut berada di situ terselamat.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata ketiga-tiga penjenayah terbabit yang menutup muka dengan kain memasuki premis itu sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, suspek tiba-tiba melepaskan dua das tembakan mengenai kepala dan dada mangsa. Mangsa terus rebah dalam keadaan berlumuran darah dan mati di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Yusuf berkata, suspek turut memukul kepala rakan mangsa, iaitu M Palsamy, 67, dan seorang lagi dikenali sebagai Subramaniam, 60-an, hingga cedera sebelum melarikan diri bersama wang tunai RM8,000.
Katanya, Palsamy yang cedera parah di kepala kini ditempatkan di wad Hospital Taiping (HT), manakala Subramaniam hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di 05-8080222 bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment