Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/02/16
Sindiket antarabangsa guna warga tempatan jadi ejen perangkap mangsa
KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini dikesan menukar taktik dengan merekrut warga tempatan sebagai ejen untuk mencari 'keldai dadah' bagi menyeludup dadah ke dalam atau luar negara. Taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar. Hasil soal siasat polis negara itu, suspek mendedahkan tiga warga Malaysia memperdaya dia untuk pergi ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini.
Duta Malaysia ke Argentina, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata remaja berasal dari Sungai Cincin, Gombak, kini ditahan di sebuah penjara di Buenos Aires sejak 31 Januari lalu di bawah perintah tahanan sementara menunggu tarikh perbicaraan.
“Kita mendapati remaja itu dijanjikan upah sebanyak RM7,000 oleh tiga lelaki terbabit sekiranya berjaya membawa balik bungkusan yang kononnya berisi batu permata hitam.
“Ketika ditahan, suspek sedang menunggu untuk menaiki pesawat Qatar Airlines ke Qatar. Dia ditahan sejurus pemeriksaan mendapati bagasi pakaian yang dibawanya mengandungi kokain namun kita tidak pasti beratnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Zulkifli berkata, apabila disoal siasat wakil kedutaan bersama peguam belanya, suspek mendakwa tidak mengetahui bagasi dibawanya mengandungi dadah.
“Selepas media mendedahkan mengenai kegiatan merekrut rakyat Malaysia untuk menjadi ‘keldai dadah’ oleh warga Afrika, kini sindiket pengedaran dadah didapati mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan orang tempatan pula.
“Ini bagi memudahkan mereka memperdaya mana-mana individu yang terdesak untuk mencari kerja atau wang lebih bagi menyeludup dadah,” katanya.
Zulkifli berkata, sejak beberapa bulan lalu, lima lelaki rakyat Malaysia ditahan di Argentina kerana cuba menyeludup kokain.
Pendedahan taktik terbaru berkenaan diperkukuhkan dengan penahanan seorang wanita Malaysia bernama Aida bersama lima lelaki Nigeria di Kuala Lumpur, pada 2 Februari lalu, kerana dikatakan merekrut rakyat tempatan bagi menjadi keldai dadah
Tuesday, February 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment