Thursday, September 30, 2010

Ismail jamin siasat polis curi syabu

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Suhana Roslan

2010/10/01
Tindakan tatatertib kepada anggota tidak cekap, amanah

KUANTAN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh kes 10 anggota polis, termasuk seorang berpangkat inspektor yang mencuri kira-kira 40 kilogram syabu daripada lebih 700 kilogram yang dirampas dalam serbuan di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, Mei tahun lalu.

Katanya, beliau telah mengarahkan agar siasatan dalaman dapat dijalankan secara terperinci dan tindakan diambil ke atas mereka. Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi, katanya mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan tertuduh yang juga pemandu lori yang ditangkap membawa dadah itu, Lee Yong Toe, 48, kelmarin. Rampasan syabu seberat 753,539 gram bernilai lebih RM270 juta itu dipercayai terbesar dalam sejarah negara mendapat perhatian apabila Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya membebaskan Lee, kelmarin, mempersoalkan tindakan polis dan pendakwa raya.

Akhtar menyifatkan perbicaraan kes itu penuh dengan kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes.

Katanya, selain gagal membuktikan dadah itu milik tertuduh, pihak pendakwa juga tidak memanggil dua saksi penting yang berkaitan kes berkenaan.

Seorang saksi pendakwa juga mengaku dia salah seorang daripada sekumpulan anggota polis mencuri satu paket mengandungi syabu (kira-kira 40 kilogram), namun hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.
Sepatutnya, seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian dikenakan dakwaan jenayah dan dihantar ke penjara bagi kesalahan mencuri, katanya.

Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan palsu dan mereka yang melakukan kecurian dadah itu dikenakan hukuman berat dan meminta pendakwa raya mendakwa semua mereka yang terbabit kerana mereka sudah mengaku melakukan kesalahan.

Ditanya isu sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata semua 10 anggota polis termasuk inspektor terbabit sudah dikenakan tindakan penahanan pergerakan gaji antara enam hingga 12 bulan, selain ditukar tempat kerja, sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, semua mereka dibenarkan bertugas seperti biasa.

Ditanya sama ada siasatan lanjut akan dilakukan terhadap semua anggota dan pegawai polis terbabit, Robiah berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut pihak pendakwa raya.

Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata selain digantung pergerakan gaji, mereka juga diberi surat amaran.

Othman mengakui tindakan tatatertib diambil terhadap semua mereka kerana mendapati mereka tidak amanah, selain pegawai penyiasat tidak cekap dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin yang mengendalikan kes itu, berkata setakat ini beliau tidak menerima arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung penghakiman Akhtar.

Terpulang kepada Peguam Negara dan pihak berkuasa untuk bertindak namun setakat ini belum ada arahan lagi, katanya

Kumpulan pencuri 'Al Falah' tumpas

Sep 30, 10 6:30pm

Kongsi 0Polis Kelantan telah menumpaskan kumpulan dikenali "Al Fatah" yang terlibat jenayah curi kenderaan di Kelantan berikutan penahanan 12 anggotanya dalam satu operasi selama dua minggu berakhir semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim, berkata kesemua lelaki berumur antara 21 dan 36 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan curi kenderaan di Kelantan dan Terengganu dan diberkas secara berasingan dalam Operasi Lejang.

"Mereka mencuri dan mengubah nombor casis enjin kenderaan sebelum menjual kenderaan itu kepada umum," katanya kepada pemberita di Kota Baharu hari ini.

Dalam operasi itu sebanyak 13 kereta dan dua buah motosikal telah dirampas.

Mazlan berkata mereka yang diberkas itu memiliki rekod curi kenderaan.

Katanya polis masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kumpulabn itu.

--Bernama

Wednesday, September 29, 2010

Along pecah masuk rumah ibu tunggal

2010/09/30
KOTA KINABALU: Akibat meminjam daripada ceti haram atau along, seorang ibu tunggal menerima padah apabila rumahnya di Kampung Sim-Sim, Sandakan, kira-kira 350 kilometer (km) dari sini dipecah masuk pada Ahad lalu.

Mangsa yang juga ibu tunggal berusia 26 tahun itu yang meminjam RM2,000 pada 28 Ogos lalu untuk perbelanjaan sempena Aidilfitri, kini menanggung hutang berlebihan apabila faedahnya mencecah RM20,000. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa, berkata kegagalan mangsa membayar RM3,500 secara tunai menyebabkan sekumpulan 10 along mengambil barangan di rumahnya. Mangsa membayar RM50 setiap hari selepas meminjam daripada along sehingga 13 September lalu. Bagaimanapun, bermula 14 September hingga 26 September lalu, mangsa tidak membayar hutangnya kerana berada di Kota Kinabalu, sekali gus faedah hutangnya meningkat sebanyak RM20,000 dalam tempoh 12 hari, katanya

Polis tahan 4 lelaki, rampas peluru hidup

2010/09/30
MIRI: Polis menahan empat lelaki dan merampas sebutir peluru hidup dipercayai digunakan dalam beberapa kes rompakan bersenjata membabitkan nilai rompakan lebih setengah juta ringgit di utara Sarawak, sejak awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superitendan Ismail Idris berkata suspek pertama ditahan pada 10 September lalu di Kilometer 43 Jalan Bintulu-Miri diikuti tiga lagi suspek beberapa hari kemudian. Tiga lagi anggota kumpulan penjenayah yang berusia 22 hingga 33 tahun masih bebas dan diburu polis, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Miri di sini, semalam. Ismail berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai melakukan sekurang-kurangnya sembilan kes rompakan sejak awal tahun ini termasuk membabitkan samun, pecah rumah dan rompakan kenderaan.

Katanya, polis menemui barangan rompakan semuanya bernilai RM171,000 termasuk kenderaan yang dilarikan, selain rantai emas, komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan lain milik mangsa

Bahana cuba beri rasuah RM100,000

Oleh Norfatimah Ahmad, Suhana Roslan dan Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/09/30
KUALA LUMPUR: Seorang penuntut lelaki sebuah kolej dan rakannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyogok seorang anggota polis sebanyak RM100,000.

Penuntut berusia 20 tahun itu dan rakannya yang berusia 39 tahun ditahan di pejabat Narkotik, Balai Polis Bukit Puchong, Selangor, kelmarin, mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan. Menurut kenyataan SPRM semalam, kedua-dua lelaki terbabit memberi rasuah itu sebagai dorongan supaya rakan mereka yang ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah, tidak diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. Sementara itu, Polis Daerah Brickfields menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana cuba memberi rasuah RM10,000 bagi melepaskan adik lelakinya dan seorang wanita yang ditahan berhubung kes pengedaran dadah, Isnin lalu.

Adik lelaki itu yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai penjual herba tradisional serta teman wanitanya, 22, yang juga mahasiswi di institusi pengajian tinggi Awam (IPTA), ditahan kira-kira jam 12 tengah hari dan polis turut menemui ecstasy, eramin 5 serta ketamin bernilai RM5,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata abang suspek yang dimaklumkan mengenai penahanan adiknya, bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dua jam kemudian untuk
bertemu pegawai penyiasat kes berkenaan.
Abang suspek menawarkan RM10,000 kepada pegawai penyiasat dengan syarat adik dan pasangannya dibebaskan.

Bagaimanapun, polis bertindak menahannya, katanya

Polis buru dua lelaki langgar kereta peronda

2010/09/29
KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit melanggar kereta peronda polis sehingga terjunam ke dalam sebuah tali air di Tumpat empat hari lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, ACP Mazlan Lazim, berkata seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Tumpat yang dipercayai bersama dua suspek itu, ditahan pada hari kejadian. Ketika kejadian 1.30 pagi Jumaat lalu itu, sebuah kenderaan polis yang dinaiki dua anggota sedang meronda kawasan berhampiran stesen minyak BHP di Kampung Laut, Palekbang, Tumpat. "Ketika dua anggota itu meronda, mereka terlihat sebuah kenderaan jenis Proton Satria berwarna putih dinaiki tiga individu, dua lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan lalu mengekori kenderaan itu.

"Bagaimanapun sebaik menyedari diekori, mereka bertindak agresif dengan melanggar kenderaan anggota peronda sehingga terjunam ke sebuah tali air berhampiran," katanya.

katanya, sebaik melihat kenderaan polis itu terjunam ke dalam tali air, ketiga-tiga suspek turun dari kenderaan mereka dan cuba lari ke kawasan hutan berhampiran tetapi seorang daripada mereka, suspek iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun, ditahan oleh anggota peronda berkenaan.

Katanya, kedua-dua anggota peronda tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal mendapati pelajar itu dipercayai pernah terbabit kesalahan manakala kedua-dua suspek lelaki berkenaan dipercayai memiliki rekod jenayah lampau dalam kes curi kenderaan dan dadah.

Tuesday, September 28, 2010

Pengawal keselamatan cedera ditembak dua perompak

28/09/2010 5:17pm



Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Seorang pengawal keselamatan cedera ditembak di bahagian tengkuk oleh dua penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol yang merompak Alliance Bank di Taman Sungai Besi Indah di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar penutup penuh dan topi besbol berjaya melarikan wang tunai RM50,000. – Utusan

Monday, September 27, 2010

Penganggur dihukum gantung bunuh model sambilan

28/09/2010 12:25pm


ALOR SETAR 28 Sept. 2010 - Seorang penganggur hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh seorang model sambilan pada Mei 2004.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Ismawi Ishak, 25, dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah bernombor 180 Jalan Anggerik 1/7 Bandar Amanjaya, Sungai Petani antara pukul 12.01 pagi hingga 7.15 pagi pada 4 Mei 2004.

Semasa membela diri, tertuduh mendakwa dia telah menikam si mati akibat terkejut, panik dan marah kerana mangsa cuba meliwatnya ketika sedang tidur pada malam kejadian di rumah berkenaan.

Dalam penghakimannya Zamani berkata: "Semasa memberi keterangan membela diri tertuduh gagal membuktikan berlaku kemarahan yang melampau atau cubaan untuk membela diri.

"Oleh itu saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes ini," katanya.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 27 kesan kecederaan pada badan si mati termasuk dua kesan tikaman pisau rambo yang dalam pada dada mangsa.

Sebaik sahaja hukuman diputuskan, Ismawi yang berseluar hitam dan berkemeja-T putih terus menundukkan muka sehingga dibawa masuk ke lokap.

Tertuduh diwakili peguam C.P Ang manakala pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Razali Che Ani. -

Penyeludup senjata api diberkas

Ghazali Mohd. Amin (kiri) menunjukkan pistol jenis Glock yang dirampas daripada seorang lelaki di Changlun, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KANGAR 27 Sept. - Seorang lelaki yang disyaki menjadi perantara sindiket penyeludup senjata api di negara jiran ditahan bersama sepucuk pistol automatik dan 40 butir peluru di Changlun, Kedah, semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ghazali Md. Amin berkata, lelaki berusia lewat 20-an yang juga peniaga pasar malam di Kedah, ditahan hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.

Katanya, ketika ditahan, suspek memandu kereta Proton Waja, di lampu isyarat pekan tersebut pukul 5.30 petang.

Menurutnya, senjata api yang dirampas adalah jenis Glock 26 Austria, iaitu antara model terbaru di pasaran, manakala peluru pula bersaiz 9 milimeter.

"Kita menemui senjata api itu yang dipercayai untuk diberikan kepada pihak-pihak tertentu di dalam kereta tersebut.

"Suspek dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah melibatkan senjata api di negara jiran khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang diketuai oleh Deputi Supritendan Teoh Phaik Leng.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek berasal dari Alor Setar, Kedah, telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Tambahnya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali

Thursday, September 23, 2010

Polis tahan lelaki, rampas 1.45kg heroin

2010/09/23
GEORGETOWN: Polis merampas 1.45 kilogram (kg) heroin dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru di sini semalam dan menangkap seorang lelaki berumur lingkungan 30-an yang sedang membungkus dadah itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata lelaki itu yang ditahan pada jam 6.30 petang, mempunyai tiga rekod kesalahan dadah sebelum ini dan diintip berikutan satu maklumat awam.

Kastam rampas 16kg dadah bernilai RM3 juta, 6 pistol di Pulau Pinang

2010/09/23
BUTTERWORTH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 16 kilogram (kg) syabu, ketamin dan heroin tulen bernilai RM3 juta dan enam pistol serta lebih 100 biji peluru dalam serbuan di dua rumah dan tiga bangsal di Batu Feringgi, tengah hari semalam.

Serbuan jam 12,25 tengah hari itu ke atas presmis berkenaan yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Wednesday, September 22, 2010

Pemandu teksi samun dua wanita ditahan

2010/09/23
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi yang menyamun dua wanita warga Kemboja sebelum membogelkan mereka ketika dalam perjalanan dari Stesen Bas Bukit Jalil ke Bukit Tinggi, Klang, ditahan di Pantai Dalam di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata seorang lagi pemandu teksi berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian sama sudah dikenal pasti dan kini sedang diburu. Polis menemui pelbagai barangan samun dipercayai milik wanita warga Kemboja itu seperti pasport, beg pakaian, sejumlah mata wang USD, Kemboja dan Ringgit Malaysia. Polis turut merampas teksi lelaki itu dalam serbuan jam 3 pagi, katanya di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata kejadian samun itu berlaku malam kelmarin, ketika kedua-dua wanita yang tiba dari Johor Bahru mahu meneruskan perjalanan ke Klang.

Sindiket dadah warga Iran tumpas, dadah RM3.6j dirampas

22/09/2010 4:19pm



Oleh TAN MING WAI

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Iran dan aktiviti memproses dadah syabu selain merampas dadah bernilai RM3.6 juta, semalam.

Dalam kejayaan itu, polis menahan seramai tujuh warga Iran dan dua warga India dalam serbuan yang diadakan di sekitar ibu negara dan Petaling Jaya, Selangor. – Utusan

Tuesday, September 21, 2010

Bunuh Syafiah Humaira: Fazli dihukum gantung sampai mati

22/09/2010 11:49am


SHAH ALAM 22 Sept. – Pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mohd. Fazli, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira, 3, di sebuah padang bola sepak di Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat sini pada 25 Februari lalu. – Utusan

Kabel dicuri 10 kali

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 21 Sept. 2010 - Penduduk Kampung Paya Luas, Kuala Krau dekat sini sudah hilang sabar apabila sekurang-kurangnya 10 kali kabel telefon di kawasan mereka dicuri sepanjang tahun ini menyebabkan mereka sering terputus hubungan telekomunikasi.

Kes terbaru berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri lalu apabila kabel telefon dicuri menyebabkan mereka mengalami kesukaran berhubung dengan sanak saudara, sama ada melalui telefon atau Internet.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Luas, Ahmad Lela, 48, berkata, pada malam raya, pengguna sepatutnya menikmati perkhidmatan telefon percuma untuk menghubungi sanak saudara tetapi gagal berbuat demikian kerana kabel telefon dicuri.

"Walaupun ramai yang menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga, rakan-rakan dan sebagainya, namun masih ramai yang menggunakan telefon talian tetap di rumah.

"Kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan itu adalah warga emas kerana mereka tidak tahu menggunakan telefon bimbit.

"Mereka lebih selesa menggunakan talian di rumah untuk berbual dengan anak dan cucu yang jauh di perantauan dan tidak dapat pulang beraya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad berkata, perbuatan mencuri kabel telefon itu dipercayai dilakukan penagih dadah yang menjualnya mendapatkan wang bagi membeli bekalan bahan terlarang itu.

Tambahnya, pencuri terbabit dikatakan pakar kegiatan mencuri kabel kerana mereka melakukannya dalam tempoh yang singkat.

Katanya, pengguna juga merungut kerana perlu membayar sewa talian setiap bulan sedangkan mereka tidak dapat menikmati perkhidmatan sebaik mungkin.

Ahmad berharap pihak berkuasa meningkatkan lagi rondaan bukan sahaja di kampung, malah di kampung-kampung lain terutama pada tengah malam dan sebelum subuh kerana ia merupakan waktu pencuri melakukan kegiatan tersebut.

''Dalam hal ini, penduduk tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa semata-mata sebaliknya perlu bekerjasama membuat rondaan untuk menangkap pencuri kabel itu," tegasnya

Monday, September 20, 2010

Lelaki parah kena tembak

2010/09/21
KULAIJAYA: Seorang lelaki parah selepas terkena tembakan dalam cubaan samun di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Sawit, Taman Sawit, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan abangnya berusia 22 tahun sedang mengemas untuk menutup kedai apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar menutup muka penuh tiba-tiba menyerbu masuk dan mengacukan pistol. Difahamkan, lelaki terbabit melepaskan tembakan selepas mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal tanpa mengambil barang atau wang tunai. Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata mangsa cedera di leher selepas terkena satu das tembakan.

"Suspek dipercayai berusia 30-an adalah berbahaya. Polis percaya suspek lebih daripada dua orang dan siasatan lanjut akan dijalankan, katanya, semalam

Petani bunuh guna cangkul digantung

2010/09/21
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang petani yang didapati bersalah membunuh bekas suami teman wanitanya, kira-kira tiga tahun lalu.

Aboys Saon, 28, didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Mupug anak Sat, 42, menggunakan cangkul di sebuah kebun sayur di Kampung Tebia Maras, Padawan, jam 5.30 petang, 14 Oktober 2007. Pesuruhjaya Kehakiman, P Ravinthran membuat keputusan itu selepas 12 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan. Aboys yang diwakili peguam Osman Ibrahim, hanya mengangguk sebaik mendengar keputusan itu dan kelihatan sugul ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah
Di mahkamah sama, enam lelaki berusia 18 hingga 24 tahun didakwa kerana membunuh rakan mereka selepas perselisihan faham dipercayai berkaitan hutang.

12 nelayan rugi RM100,000 enjin bot dicuri

2010/09/21
MELAKA: Dua belas nelayan di Tanjung Nibong, Telok Mas, dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 apabila 12 enjin bersama tiga bot menangkap ikan milik mereka dilarikan pencuri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pencuri berkenaan dikatakan melarikan 12 bot ke beberapa pulau berhampiran dan mengambil enjinnya bersama tiga bot tetapi meninggalkan sembilan bot lain terapung di kawasan berkenaan. Seorang mangsa, Mohd Nazri Abdullah, 44, mendakwa kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi tetapi menyedari mengenai kehilangan itu pada jam 6 pagi selepas dimaklumkan seorang rakan. Katanya, sebaik dimaklumkan, beliau dan beberapa rakan nelayan bergegas ke jeti terbabit sebelum dimaklumkan kepada polis Marin yang kemudian melakukan rondaan bagi mengesan bot terbabit di laluan kapal.

Kami juga membantu membuat rondaan dan usaha itu berhasil apabila berjaya menemui semula sembilan daripada 12 bot itu. Empat ditemui terapung berhampiran Pulau Mendatang dalam kawasan Telok Mas.

Empat bot lagi dijumpai di kawasan Pulau Besar, manakala sebuah lagi ditemui di kawasan teluk di luar muara pangkalan nelayan di sini. Bagaimanapun kesemua enjin bot berkenaan hilang, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Nazri berkata, kejadian kelima itu membabitkan enjin bot yang hilang dari jenis kuasa kuda 15HP, 30HP, 40HP dan 115HP yang setiap satu bernilai antara RM3,000 hingga RM10,000 itu.

Thursday, September 9, 2010

Perompak hentak dua peniaga Pasar Borong Menglembu dengan pistol

2010/09/09
IPOH: Dua peniaga pasar borong cedera di kepala selepas dihentak dengan senjata dipercayai pistol oleh sekumpulan lelaki yang merompak mereka di Pasar Borong Menglembu di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan. Kejadian berlaku pada jam 8 malam ketika lima peniaga pasar borong di Menglembu sedang makan dan minum apabila dihampiri empat perompak, dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala dua lagi parang. ”Seorang daripada perompak itu melepaskan satu das tembakan ke udara menyebabkan tiga peniaga terbabit melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, dua peniaga terbabit yang tidak sempat melarikan diri telah dicederakan oleh suspek dengan menghentakkan senjata itu di kepala mereka.

Beliau berkata, empat perompak kemudian melarikan beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 serta sebuah beg lagi yang juga mengandung wang tunai tetapi tidak diketahui jumlahnya.

Katanya, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Nissan.
Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - Bernama

6 warga asing ditahan, dipercayai terbabit kes samun

2010/09/09
JOHOR BAHRU: Enam warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di kawasan setinggan di Majidee semalam, dipercayai terbabit dalam kes samun ke atas tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana pada 3 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Shariff, berkata hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah terbabit petang semalam dan menemui pelbagai peralatan termasuk pemain DVD, telefon bimbit, pelbagai beg duit serta sejumlah mata wang asing. "Kesemua suspek yang berusia antara 21 dan 56 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 2.30 petang pada 3 September lalu, sekumpulan lelaki Indonesia bersenjatakan pisau menyamun tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana dan melarikan wang tunai RM14,250 serta komputer riba, telefon bimbit, dokumen bank dan dokumen diri mangsa.

Mengulas kes lain, Mokhtar berkata, polis di Yong Peng sudah menahan empat lelaki tempatan pada jam 3 pagi Jumaat lalu dipercayai sedang bersedia untuk melakukan samun berkumpulan.

Kumpulan lelaki itu yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan di Parit Yaani dan apabila dihampiri kereta peronda polis mereka bertindak memecut melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kereta tersebut berjaya dipintas di lampu isyarat di Taman Kota dan kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 36 tahun ditahan.
“Polis menjumpai sebilah pedang samurai, sebilah parang, tiga playar, sebilah pisau lipat dan empat topeng ski dari kereta tersebut,” katanya.

Dua daripada lelaki berkenaan juga didapati mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan jenayah kekerasan membabitkan kes samun dan pernah ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan. - Bernama

Peromak larikan RM80,000 dari bank di Bandar Baru Nilai

09/09/2010 4:36pm


NILAI 9 Sept — Seorang perompak berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira hampir RM80,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah bank CIMB cawangan Bandar Baru Nilai, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban,. ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek terbabit yang dipercayai seorang lelaki memasuki bank berkenaan dengan memakai topeng mulut, cermin mata gelap dan bertopi sebelum melakukan rompakan itu.

"Difahamkan, sebaik memasuki premis tersebut, lelaki itu yang dipercayai membawa satu objek berbentuk pistol telah bertindak melompat ke belakang kaunter bank sebelum menakutkan kakitangan bank berkenaan dan melarikan diri dengan wang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya ketika kejadian, terdapat empat pekerja bersama seorang pengurus termasuk dua pengawal keselamatan turut berada dalam bank tersebut, namun tiada pelanggan berada di dalamnya.

"Siasatan awal mendapati, kami mempercayai objek yang dibawa oleh suspek itu bukannya senjata api atau pistol, sebaliknya lelaki terbabit telah menggunakan objek tersebut untuk menakutkan kakitangan bank sebelum mengambil wang tunai dari tiga kaunter bank berkenaan,” katanya.

Katanya, ini kerana salah seorang pengawal keselamatan cuba mengejar suspek yang melarikan diri ke arah lorong di bangunan berhampiran, namun perompak itu tidak melepaskan tembakan.

"Kalau suspek itu mempunyai pistol sudah pasti dia sudah melepaskan tembakan ke arah pengawal itu ketika dia dikejar,” katanya.

Katanya polis kini sedang meneliti rakaman kamera Litar Tertutup (CCTV) selain menahan salah seorang pengawal tersebut bagi membantu siasatan. — Bernama

Wednesday, September 8, 2010

Utara: Menyamar kesan warga asing keluar secara haram

2010/09/09
PADANG BESAR: Jabatan Imigresen akan menempatkan anggota khas untuk menyamar di dalam kereta api ke Thailand pada musim perayaan ini, bertujuan mengesan sebarang cubaan warga asing untuk menyusup keluar secara haram melalui pintu sempadan negara.

Kaedah dipraktikkan itu semalam, nyata membuahkan hasil apabila pasukan diketuai Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Zahirul Fahmi Zaini, yang menyamar di dalam Ekspress Senandung Langkawi ke Hatyai, Thailand berjaya mengesan cubaan licik tiga lelaki warga Thai untuk keluar secara haram ke negara asal mereka. Zahirul ketika ditemui, berkata semua tiga warga Thai berkenaan ditahan ketika cuba menyelinap keluar melalui celahan rakan senegara mereka yang berpusu-pusu di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini, kira-kira jam 8.45 pagi. Katanya, dua daripada suspek ditahan selepas dikesan tinggal melebihi tempoh waktu dibenarkan, manakala seorang lagi kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) serta 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000," katanya ketika ditemui ketika mengetuai Ops Kutip di KIK, di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau bersama beberapa anggota Jabatan Imigresen negeri menaiki Ekspress Senandung Langkawi di Hentian Arau, di sini, yang menjadi tumpuan utama warga Thai, sebelum turun di Hentian Padang Besar, untuk menyertai Ops Kutip.

Mengulas taktik penyamaran berkenaan, Zahirul berkata operasi berkenaan membabitkan 35 anggota dengan dibantu enam anggota Rela yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan, termasuk pasukan khas untuk tujuan penyamaran di dalam kereta api

Kastam gagalkan cubaan seludup 51kg ketamine

2010/09/09
NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ketamine seberat 51 kilogram yang disorok dalam bungkusan pakaian menggunakan kontena melalui Pelabuhan Klang, Selangor, Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) KDRM, Datuk Ismail Ibrahim, berkata dadah bernilai RM565,530 yang cuba diseludup menggunakan dua kontena itu beralamat di Cheenai, India dan dialamatkan kepada pengimport tempatan. “Pemeriksaan ke atas kontena pertama pada mulanya menemui 281 bungkusan pakaian tradisional masyarakat India termasuk sari, punjabi, blaus dan kain, manakala empat bungkusan lagi adalah mesin pengisar. “Bagaimanapun, cubaan mengaburi mata pihak berkuasa gagal kerana kita berjaya menemui satu bungkusan pakaian yang mempunyai dua bungkusan 50 paket dadah jenis ketamin,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Narkotik, Ibu Pejabat KDRM Kampung Jijan, di sini.

Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kontena kedua tidak menemui apa-apa barang larangan, tetapi siasatan lanjut akan diteruskan.

“Ini percubaan pertama pihak berkenaan menyeludup dadah dengan membawa bersama pakaian menggunakan kapal tetapi gagal. Setakat ini, masih belum ada sebarang tangkapan tetapi siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ismail berkata, sepanjang tahun ini, KDRM berjaya menggagalkan 49 cubaan menyeludup dadah dengan nilai rampasan RM34.7 juta dan menahan 35 warga asing serta tiga rakyat tempatan yang terbabit dengan kes berkenaan

Tuesday, September 7, 2010

Pegawai PGA antara ditahan kes serangan pedang samurai

2010/09/07
KOTA KINABALU: Polis telah menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana dipercayai terbabit dalam insiden serangan menggunakan pedang samurai ke atas dua remaja di Lahad Datu Sabtu lalu.

Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Tan Kok Liang, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan semalam dan dijangka lebih banyak tangkapan dibuat selepas ini. "Kami sedang mengambil tindakan dan kami juga berusaha mencari pedang tersebut," katanya kepada pemberita selepas menerima kuih raya untuk Polis Sabah daripada UMNO Bahagian Penampang, di sini hari ini. Beliau ditanya bagi mengesahkan laporan akhbar mengenai pembabitan seorang anggota PGA dalam serangan di sebuah pusat hiburan itu.

Laporan media tempatan menyebut dalam kejadian itu dua remaja mengalami kecederaan apabila diserang sekumpulan lelaki yang bersenjatakan sebilah pedang samurai dan dua kayu pemukul besbol di luar pusat hiburan terbabit.

Mengulas lanjut, Tan berkata polis masih menyiasat motif serangan.

Mengenai penahanan pegawai PGA itu, beliau berkata polis boleh dan akan menahan siapa saja termasuk anggota mereka sendiri jika dipercayai terlibat dengan jenayah.
"Kita percaya bukan dia yang menggunakan pedang itu, tetapi dia ada di tempat kejadian. Kita tidak tahu sejauh mana penglibatannya tapi yang penting kita bertindak dengan adil," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Tan berkata lebih 50 peratus anggota dan pegawai polis beragama Islam akan bertugas di negeri itu sepanjang sambutan hari raya kali ini.

Beliau juga memberi jaminan kadar jenayah di negeri itu berada pada tahap terkawal dan rondaan di kawasan perumahan akan dipertingkatkan sepanjang musim perayaan ini. -BERNAMA

Thursday, September 2, 2010

Mahkamah tolak rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Koh Kim Teck

2010/09/02
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan ahli perniagaan Koh Kim Teck daripada pertuduhan membunuh seorang remaja warga China enam tahun lalu berikutan pihak pendakwaan gagal memastikan Koh hadir di mahkamah semasa rayuan ditetapkan untuk didengar.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop turut membatalkan waran tangkap ke atas Koh yang dikeluarkan pada 24 Ogos tahun lalu oleh Mahkamah Rayuan berdasarkan permohonan pihak pendakwaan. Pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap itu kerana gagal mengesan di mana Koh berada. Sebelum menolak rayuan itu, Hakim Suriyadi bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof tentang berapa kali waran tangkap tidak dapat diserahkan kepada Koh dan dimaklumkan lebih tiga kali.

"Ini keputusan mahkamah, waran tangkap terhadap responden kedua (Koh) dibatalkan dan rayuan terhadap Koh dibatalkan. Kes ini berlarutan terlalu lama dan berpanjangan. Sama ada awak (pihak pendakwaan) tidak buat apa-apa atau tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan Koh, 56, Resty Agpalo, 38, dan Mohamad Najib Zulkifli, 30, daripada pertuduhan membunuh anak saudara Koh, Xu Jian Huang, 14, seorang pelajar, di sebuah banglo di Jalan Mengkuang off Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 11 malam, 26 September, 2004 dan 3.30 pagi hari berikutnya.

Ketiga-tiga mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 20 September, 2005 tanpa memanggil mereka untuk membela diri.
Hari ini, mahkamah dijadual mendengar rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan ketiga-tiga mereka. Pendengaran rayuan itu telah ditangguhkan beberapa kali kerana Koh tidak hadir.

Ishak berkata, Koh telah tidak hadir sebanyak tujuh kali dalam pendengaran rayuan itu yang awalnya ditetapkan pada 14 Mac, 2007, dan telah ditangguhkan beberapa kali ekoran kegagalan Koh hadir di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan mahkamah.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu Koh dimasukkan di Hospital Lian Tang di Shen Zheng City, China, sepertimana dicatatkan dalam sijil cuti sakit bertarikh 25 Oktober, 2007, kerana serangan jantung jenis reumatisme dan darah tinggi.
Koh tidak diwakili kerana peguam Datuk V.Sithambaram telah menarik diri daripada mewakili ahli perniagaan itu.

Agpalo dan Mohamad Najib yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, hadir di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 1 November untuk mendengar rayuan terhadap pembebasan Agpalo dan Mohamad Najib selepas Ishak memaklumkan mahkamah yang pihak pendakwaan mahu meneruskan rayuan itu walaupun mahkamah telah membatalkan rayuan terhadap Koh.

Sebelum mahkamah mendengar rayuan itu, ia akan mendengar dua usul yang difailkan oleh Agpalo dan Mohamad Najib.

Usul utama ialah permohonan untuk mengemukakan keterangan baru oleh Phang Shui Jin, pembantu rumah warga China yang bekerja dengan Koh, yang berada di tempat kejadian dan permohonan kedua untuk membatalkan pertuduhan dan rayuan itu atas alasan ia melanggar proses mahkamah. - BERNAMA

Malaysia bukan pusat proses, edar syabu utama di dunia

2010/09/02
KUALA LUMPUR: Malaysia bukanlah pusat pemprosesan dan pengedaran dadah jenis syabu utama di dunia walaupun banyak rampasan dadah terbabit, yang bernilai jutaan ringgit, dilakukan kebelakangan ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata selepas diselidik, kebanyakan dadah yang dirampas itu berasal dari negara luar yang dibawa oleh warga asing untuk kegunaan warga mereka sendiri seperti pelajar dan pelancong. "Kebanyakan dadah yang dibawa masuk adalah dadah jenis end-product (yang telah disiapkan), dan bukannya dadah yang diproses di negara ini." "Dadah itu adalah untuk kegunaan rakan senegara mereka sendiri seperti dari Nigeria, Turki, Iran dan terbaru Bulgaria," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah JSJN, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin kepada beliau di Bukit Aman di sini hari ini.

Majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Othman berkata usaha warga asing untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah dengan mewujudkan makmal dadah haram sejak 2006 gagal apabila seringkali dihapuskan pihaknya.
"Sejak 2006 hingga kini, kita telah menyerbu 14 buah makmal memproses dadah jenis syabu dan heroin terbesar di negara ini, ia telah berkurangan dan sukar untuk dikesan.

"Kami juga berjaya menangkap 89 orang warga Iran dan merampas dadah jenis syabu sebanyak 245kg bernilai hampir RM6 juta pada tahun ini sahaja," katanya.

Justeru, katanya dadah boleh didapati dari mana-mana negara sekalipun memandangkan penyalahgunaan bahan terlarang itu adalah masalah global.

"Tidak semestinya negara ini sahaja yang dijadikan tempat memproses dadah. Sumber boleh datang dari mana-mana. Dadah masalah global, bukan berlaku di negara kita sahaja," katanya.

Othman berkata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), sebuah agensi antarabangsa yang ditubuhkan bagi menjelaskan kepada dunia akan bahaya pengedaran dan penyalahgunaan dadah, tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai pusat pengedaran atau pemprosesan dadah.

Katanya kerjasama berterusan semua pihak perlu dalam menyalurkan maklumat mengenai mana-mana kes dadah untuk mengelakkan negara ini digelar sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah.

Sementara itu, Zulhasnan yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun akan bersara wajib pada 12 September ini.

Menurut kenyataan Bukit Aman, sepanjang tempoh tiga tahun Zulhasnan menjadi pengarah, prestasi jabatan telah meningkat sebanyak 19 peratus pada 2009 berbanding 2008.

Prestasi tangkapan keseluruhan jabatan meningkat sebanyak 37 peratus , iaitu tahap tertinggi sepanjang jabatan ini ditubuhkan. - BERNAMA

Kes jenayah Januari-Ogos: Purata 6 pelajar di Perlis terbabit setiap bulan

2010/09/02
KANGAR: Sejumlah 49 pelajar sekolah di negeri ini dilapor terbabit dalam pelbagai kes jenayah sepanjang tempoh antara Januari hingga Ogos tahun ini, atau secara purata sekurang-kurangnya enam pelajar sekolah terbabit dalam jenayah di Perlis setiap bulan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Mohd Amin, berkata berdasarkan rekod Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, sejumlah 23 pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah atau mewakili lebih 50 peratus daripada jumlah 49 pelajar berkenaan, ditahan sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini kerana terbabit dalam kes curi motosikal. Beliau berkata, walaupun jumlah pembabitan pelajar dalam kes curi motosikal di Perlis dilihat ketara, namun kebanyakan mereka dilapor bertindak secara solo atau bersendirian dan bukannya membabitkan kegiatan secara sindiket. Selain kes curi motosikal, katanya, 11 pelajar yang lain ditahan sepanjang tempoh sama kerana dikesan mempunyai kaitan dengan kes curi iaitu tujuh daripadanya membabitkan curi dalam bangunan dan empat lagi kerana jenayah curi siang hari.

"Kita turut menahan tiga remaja yang juga pelajar kerana terbabit dalam kes rogol sepanjang tempoh berkenaan, manakala selebihnya pula membabitkan lain-lain kes.

"Selain itu, 30 pelajar juga turut dilapor terbabit dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun ini di seluruh negeri, dengan majoritinya membabitkan motosikal," katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa bersama media di Restoran Terapung Sungai Bahru, di sini, petang semalam

Polis temui 24 warga India dikurung 2 lelaki Pakistan

02/09/2010 12:49pm



Oleh ANI AWANG

IPOH 2 Sept 2010 – Polis menemui seramai 24 lelaki warga India yang dikurung dalam sebuah rumah dipercayai mangsa pemerdagangan orang dalam satu serbuan di Sungai Siput kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki rakyat Pakistan dipercayai terlibat menguruskan kegiatan haram itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua warga India berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu adalah hasil maklumat awam. – Utusan

Suspek edar heroin di Pantai Timur diberkas

2010/09/02
KUANTAN: Polis Pahang hari ini mengumumkan kejayaannya menahan seorang lelaki dipercayai anggota sindiket mengedar dadah di negeri sekitar Pantai Timur dan merampas heroin seberat 2.2 kilogram di Lorong Pasar Baru di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata suspek berusia 23 tahun dan berasal dari Klang itu ditahan pada 9.45 malam ketika berada dalam sebuah kereta. "Selepas pemeriksaan polis menjumpai satu beg plastik mengandungi dadah itu di bahagian penumpang," katanya di sini, hari ini. Robiah berkata, ujian saringan air kencing lelaki berkenaan didapati negatif. - Bernama

Rumah pegawai bank dimasuki perompak, dipercayai warga asing

2010/09/02
KUANTAN: Seorang pegawai bank kerugian RM5,000 selepas rumahnya dimasuki tiga perompak dipercayai warga asing di Kampung Paya Siput, Lanchang dekat Temerloh, awal pagi tadi.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata dalam kejadian pada 3 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 35 tahun, tinggal bersama dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun. "Kesemua suspek yang menutup muka mereka dengan topi keledar, bertindak mengikat semua mangsa dan menutup muka mangsa dengan kain selimut sebelum menggeledah rumah mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Noor Asyikin berkata, suspek melarikan wang tunai RM170, telefon bimbit dan barangan kemas, kerugian dianggarkan RM5,000. - Bernama