Tuesday, September 21, 2010

Kabel dicuri 10 kali

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 21 Sept. 2010 - Penduduk Kampung Paya Luas, Kuala Krau dekat sini sudah hilang sabar apabila sekurang-kurangnya 10 kali kabel telefon di kawasan mereka dicuri sepanjang tahun ini menyebabkan mereka sering terputus hubungan telekomunikasi.

Kes terbaru berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri lalu apabila kabel telefon dicuri menyebabkan mereka mengalami kesukaran berhubung dengan sanak saudara, sama ada melalui telefon atau Internet.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Luas, Ahmad Lela, 48, berkata, pada malam raya, pengguna sepatutnya menikmati perkhidmatan telefon percuma untuk menghubungi sanak saudara tetapi gagal berbuat demikian kerana kabel telefon dicuri.

"Walaupun ramai yang menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga, rakan-rakan dan sebagainya, namun masih ramai yang menggunakan telefon talian tetap di rumah.

"Kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan itu adalah warga emas kerana mereka tidak tahu menggunakan telefon bimbit.

"Mereka lebih selesa menggunakan talian di rumah untuk berbual dengan anak dan cucu yang jauh di perantauan dan tidak dapat pulang beraya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad berkata, perbuatan mencuri kabel telefon itu dipercayai dilakukan penagih dadah yang menjualnya mendapatkan wang bagi membeli bekalan bahan terlarang itu.

Tambahnya, pencuri terbabit dikatakan pakar kegiatan mencuri kabel kerana mereka melakukannya dalam tempoh yang singkat.

Katanya, pengguna juga merungut kerana perlu membayar sewa talian setiap bulan sedangkan mereka tidak dapat menikmati perkhidmatan sebaik mungkin.

Ahmad berharap pihak berkuasa meningkatkan lagi rondaan bukan sahaja di kampung, malah di kampung-kampung lain terutama pada tengah malam dan sebelum subuh kerana ia merupakan waktu pencuri melakukan kegiatan tersebut.

''Dalam hal ini, penduduk tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa semata-mata sebaliknya perlu bekerjasama membuat rondaan untuk menangkap pencuri kabel itu," tegasnya

No comments:

Post a Comment